KUALA LUMPUR - Seorang penagih dadah yang pernah ditahan lebih 10 kali selain menerima hukuman enam sebatan ternyata tidak serik apabila diberkas sekali lagi di sebuah tapak pembinaan terbiar di sini pada Selasa.
Lelaki warga emas berusia 62 tahun itu mendakwa sudah bertaubat, namun kembali menjadi penagih tegar sejak 40 tahun lalu.
“Saya telah menjadi penagih sejak berusia 22 tahun, cuba bertaubat tapi tidak boleh kerana gian,” katanya.
Lelaki itu antara 112 individu yang ditahan dalam Op Perdana Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Wilayah Persekutuan yang bermula jam 12 tengah malam Selasa.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, hasil ujian saringan awal mendapati kesemua individu, termasuk lima wanita berusia antara 19 hingga 61 tahun, positif dadah.
“Pemeriksaan mendapati 77 penagih dadah jenis methamphetamine (syabu), 22 penagih heroin, lapan penagih ganja dan lima penagih benzo.
“Kesemua yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi serbuan di sini, pada Selasa.
Ruslin berkata, seramai 20 individu telah ditahan di tapak pembinaan terbiar atau lebih dikenali sebagai ‘port Imbi’ dalam kalangan penagih.
“Tempat penagihan itu telah dikesan aktif sejak 2023. Penagih akan datang ke lokasi itu antara jam 6 pagi hingga 10 pagi dan kemudiannya aktif semula antara jam 5 petang hingga 7 malam.
“Anggaran penagih di kawasan itu adalah antara 15 hingga 30 orang pada satu-satu masa. Melalui dapatan AADK Wilayah Persekutuan, tempat tersebut juga digunakan penagih untuk membeli dadah sebelum mereka pergi atau pulang dari kerja,” katanya.
Beliau berkata, operasi itu dilaksanakan secara bersepadu dan menyeluruh, melibatkan lima buah AADK Daerah di bawah AADK Wilayah Persekutuan.
“Operasi itu melibatkan kekuatan seramai 23 pegawai dan 54 anggota AADK Wilayah Persekutuan dan menyasarkan beberapa lokasi tumpuan termasuk di Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) penyalahgunaan dadah seperti kawasan port terbuka dan kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).
“Objektif utama operasi itu adalah untuk mengesan secara intensif penagih dan penyalah guna dadah bagi diberikan rawatan serta pemulihan yang ditawarkan oleh AADK menerusi program RPDI (Rawatan dan Pemulihan dalam Institusi) atau RPDK (Rawatan dan Pemulihan dalam Komuniti),” katanya.
Ruslin berkata, selain itu, ia juga bertujuan untuk memutuskan rangkaian bekalan dan permintaan terhadap bahan terlarang di kawasan sasaran serta memusnahkan port penagihan dadah daripada terus aktif, khususnya di KBT yang telah dikenal pasti.
“AADK sentiasa bersedia untuk memastikan operasi pengesanan penagihan dan penyalahgunaan dadah ini diteruskan dari semasa ke semasa agar hasrat ‘Dadah Terkawal 2025’ dapat direalisasikan,” katanya.