SHAH ALAM – Daerah Petaling merekodkan jumlah tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) paling ramai di Selangor, melibatkan seramai 2,158 individu yang diberkas dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, angka itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 3,190 PATI yang ditahan menerusi 414 operasi di seluruh negeri berkenaan.
Menurutnya, selepas Petaling, daerah Klang merekodkan tangkapan kedua tertinggi dengan 617 PATI, diikuti Hulu Langat seramai 193 orang.
“Daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 941 PATI telah didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Paling ramai yang ditahan ialah warga Indonesia (387), diikuti Bangladesh (245) serta India (114). Majoriti kesalahan membabitkan tinggal lebih masa dan tidak mempunyai pas atau permit yang sah,” katanya ketika sesi libat urus JIM Selangor bersama media di sini pada Selasa.
Katanya, selain itu, seramai 22 majikan turut ditahan atas kesalahan melindungi PATI dan kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.
“Data turut merekodkan sebanyak 1,030 PATI pelbagai negara berjaya diusir selepas melalui proses dokumentasi termasuk pengesahan bersama kedutaan masing-masing.
“Bagi rekod Depot Imigresen Semenyih pula, warga Myanmar mendominasi jumlah tahanan seramai 655 orang, diikuti Bangladesh (123), India (35), Pakistan (20) dan lain-lain seramai 46 orang,” katanya.
Menurutnya, setakat ini tiada kemasukan pekerja asing baharu sejak Mei lalu.
“JIM Selangor akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan ke atas warga asing yang melanggar undang-undang di negeri ini.
“Tumpuan operasi kini adalah terhadap mereka yang melanggar syarat permit kerja,” katanya.