PERNAHKAH anda menghadiri kenduri di kampung? Kadang-kadang ada pak cik yang duduk di kerusi paling depan, tidak bangun-bangun walaupun ramai tetamu lain tercari-cari tempat duduk.
Katanya, “Aku dulu orang lama sini, kerusi ini memang hak aku.” Yang muda terpaksalah berdiri sambil tersenyum kelat.
Merak Jalanan teringat kisah itu apabila mendengar rungutan seorang rakan tentang tempat kerjanya.
Katanya, pekerja muda di pejabat penuh bakat dan rajin tetapi asyik-asyik suara senior yang diangkat.
“Kami dah cadang macam-macam idea segar tetapi akhirnya bos tetap tanya balik pendapat orang lama. Kalau macam ini, baik buka kedai kopi sendiri,” katanya separuh bergurau.
Hakikatnya, pengalaman memang berharga. Orang lama sudah banyak menempuh susah payah, dan kita wajib menghormati.
Tetapi jika setiap keputusan hanya berpandukan 'aku lebih lama, aku lebih tahu', maka sampai bila bakat muda hendak bersinar?
Tenaga muda bukan hendak rampas kerusi atau ambil alih kedudukan orang lama, cuma minta sikit ruang untuk duduk bersama.
Kalau semua peluang ditutup orang lama, jangan berasa peliklah kalau satu hari nanti orang baru akan bangun dan cari kerusi lain di tempat lain. Ruginya siapa? Organisasi juga akhirnya.
Tempat kerja sepatutnya menjadi gelanggang bakat bersatu, bukan pentas berebut kerusi.
Yang lama membimbing, yang muda menyumbang tenaga baharu. Apabila sama-sama berkongsi cahaya, barulah pokok tua dan anak pokok sama-sama subur.
Merak Jalanan hanya tersenyum dan dalam terfikir pula kerusi lama memang selesa tetapi janganlah terlalu kedekut tempat.
Ingat, dunia pekerjaan ini luas dan selalu ada kerusi lain menunggu.