Malaysia sedia bincang dengan Singapura mengenai e-hailing rentas sempadan

Iklan
Anthony ketika sesi penggulungan RMK13 pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Parlimen pada Isnin. Foto Bernama

SHAH ALAM – Kerajaan Malaysia bersedia berbincang dengan Singapura berhubung cadangan pelaksanaan perkhidmatan e-hailing rentas sempadan yang dijangka dapat direalisasikan sekiranya kedua-dua pihak mencapai persetujuan bersama.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, cadangan itu kini dalam perhatian kementeriannya dan diharapkan dapat dilaksanakan.

Iklan
Iklan

“Secara prinsip dan dasar, kita sedia berbincang dengan Singapura untuk meningkatkan connectivity rentas sempadan.

“Tetapi perkara ini tidak boleh dilaksanakan sebelah pihak sahaja, ia memerlukan persetujuan bersama,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Iklan

Anthony berkata, idea mengenai e-hailing rentas sempadan pernah dibangkitkan ketika pertemuannya dengan bekas Menteri Pengangkutan Singapura, Chee Hong Tat, namun republik itu ketika itu belum bersedia untuk membincangkannya.

Beliau menjelaskan, menerusi Ops Khas E-Hailing Kenderaan Asing pada 13 Ogos lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan dan menyita empat kenderaan persendirian dipandu warganegara Singapura yang kini masih dalam siasatan.

Iklan

“Dalam Ops Khas Kenderaan Pengangkutan Awam (Bas Persiaran Singapura) pada 4 Mei 2025 pula, lima buah bas dari republik itu turut ditahan – empat di Johor Bahru dan satu di Kuala Lumpur.

“Kesemua kenderaan terbabit tidak memiliki lesen pengendali sah dan kini dalam proses perbicaraan di mahkamah,” katanya.

Tindakan tersebut diambil mengikut Seksyen 16(1) dan Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

Anthony menegaskan, sebarang cadangan pelaksanaan e-hailing rentas sempadan perlu dibincangkan secara lanjut dengan kerajaan Singapura.

“Kita berharap perbincangan ini boleh diteruskan dan disambut baik oleh pihak Singapura bagi menjadikan idea ini satu realiti,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Johor dan Singapura terus memperkukuh kerjasama dua hala dalam sektor pengangkutan rentas sempadan bagi melancarkan mobiliti rakyat serta merangsang pertumbuhan ekonomi serantau.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan perkara itu turut dibincangkan ketika pertemuannya bersama Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Jeffrey Siow semasa lawatan rasmi ke republik tersebut.