KUALA LUMPUR - Penyimpanan dan pemeliharaan data komunikasi seperti rekod panggilan, alamat IP serta lokasi pengguna merupakan aspek penting dalam usaha membanteras jenayah siber, penipuan kewangan, eksploitasi kanak-kanak dan juga kes berkaitan keganasan.
Pakar Kriminologi, Dr Haezreena Begum Abdul Hamid menegaskan bahawa akses pantas terhadap metadata boleh membantu pihak berkuasa mengenal pasti suspek, mengekang rangkaian jenayah serta memberi perlindungan segera kepada mangsa.
“Dari sudut undang-undang, data yang disimpan secara sah dan teratur akan memastikan ia diterima di mahkamah. Dari perspektif kriminologi pula, ia membolehkan tindakan pantas diambil sebelum bukti hilang,” katanya.
Menurutnya lagi, cadangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mewujudkan kerangka standard penyimpanan data adalah langkah tepat seiring perkembangan digital masa kini.
Risiko jika tiada kerangka seragam
Dr Haezreena yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya berkata, ketiadaan garis panduan seragam boleh menimbulkan risiko apabila ada penyedia perkhidmatan memadamkan data penting sebelum pihak berkuasa sempat mengaksesnya.
“Ini boleh menjejaskan proses pendakwaan dan memberi ruang penjenayah mengambil kesempatan menjadikan kelemahan itu sebagai ‘safe haven’,” ujarnya.
Beliau turut merujuk pengalaman Australia yang mewajibkan penyimpanan metadata selama dua tahun di bawah Akta Pindaan Penyadapan Telekomunikasi dan Akses (Penyimpanan Data) 2015, yang terbukti membantu menyelesaikan banyak kes jenayah siber, eksploitasi kanak-kanak dan keganasan.
Isu privasi tetap perlu dijaga
Mengakui wujud kebimbangan tentang privasi, Dr Haezreena menekankan keperluan perlindungan jelas seperti akses terhad kepada pihak berkuasa, pengawasan kehakiman dan tempoh simpanan yang munasabah.
“Masyarakat perlu faham metadata berbeza daripada kandungan komunikasi. Data yang disimpan hanyalah maklumat asas untuk tujuan siasatan, bukan pencerobohan menyeluruh terhadap privasi individu,” jelasnya.
Tambahnya, kerangka penyimpanan data yang mantap perlu merangkumi prosedur standard, mekanisme permintaan yang cepat, perlindungan undang-undang yang jelas serta pengawasan bebas bagi mengelakkan salah guna kuasa.
Rundingan awam penting
Beliau juga menggesa agar rundingan awam yang digerakkan MCMC melibatkan masyarakat sivil, aktivis privasi dan pihak industri teknologi supaya dasar yang bakal digubal mengambil kira semua pandangan, sekali gus membina keyakinan rakyat.
Dr Haezreena menegaskan, pemeliharaan data adalah senjata penting dalam penguatkuasaan undang-undang moden, namun pelaksanaannya perlu berkadar, telus dan menghormati hak asasi manusia.