JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menghormati permintaan keluarga pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Syamsul Haris Shamsudin, 22, agar proses bedah siasat kali kedua dijalankan bagi mencari punca sebenar kematian Allahyarham.
Menurut Naib Canselor UTM, Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim, pihak universiti begitu memahami perasaan ibu bapa Allahyarham dan tidak akan menghalang sebarang tindakan lanjut daripada keluarga.
“Bagi kita, ia adalah hak keluarga. UTM tidak ada halangan dan kita doakan yang terbaik buat mereka.
“Kita juga doakan semoga apa yang dihajati oleh keluarga dapat diperoleh,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Penghargaan UTM 2025 – Citra Karisma, di Dewan Sultan Iskandar, pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Ummu Haiman Bee Daulatgun, ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris yang memohon perintah agar Peguam Negara (AG) mengarahkan inkues bagi menyiasat punca kematian anaknya yang didakwa mempunyai unsur jenayah.
Mangsa dilaporkan meninggal dunia ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Darat (Pulada) Ulu Tiram pada 28 Julai lalu.
Bagaimanapun, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jawatankuasa siasatan mendapati semua saksi termasuk pegawai dan jurulatih mengesahkan tiada kelakuan atau tindakan berbentuk penderaan sepanjang tempoh latihan.
Malah katanya, latihan yang diadakan dari 27 Julai hingga 2 Ogos itu dilaksanakan mengikut garis panduan serta prosedur ditetapkan.
Sementara itu, Mohd Shafry menjelaskan bahawa latihan yang diikuti Allahyarham adalah di bawah kendalian pihak kem pertahanan dan tertakluk kepada prosedur ditetapkan oleh pihak berkuasa berkenaan.
“UTM mengambil maklum apa yang berlaku dan kita faham latihan Palapes ini melibatkan aspek ketenteraan yang berada di bawah keputusan pihak Kem Pertahanan.
“Namun di peringkat universiti, kita sudah mempunyai garis panduan serta peraturan melibatkan aktiviti pelajar. Jika prosedur operasi standard dipatuhi, insya-Allah peristiwa sebegini tidak akan berlaku kecuali perkara-perkara yang di luar kawalan universiti,” ujarnya.