YAN – Kewujudan pokok mengkundor berusia lebih 100 tahun di Gunung Jerai bakal dibangunkan sebagai salah satu produk pelancongan negeri dalam masa terdekat.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, pokok berkenaan dipercayai antara yang terbesar dan tertua di gunung tersebut selain spesiesnya turut banyak ditemui di Australia, Thailand, Vietnam dan beberapa negara Asia lain.
Menurutnya, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Daerah Yan, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) serta pihak berkaitan bagi merealisasikan cadangan menjadikan ia sebagai produk pelancongan baharu di Gunung Jerai.
“Saya yakin apabila tempat ini dibangunkan, ia akan menarik minat pencinta alam, kerana bukan sahaja mereka boleh melihat pokok mengkundor dan bergambar di sini, tetapi juga menikmati laluan denai dengan pelbagai spesies burung, flora dan fauna yang indah.
“Perancangan kita adalah untuk membangunkannya secara berfasa dengan perbincangan bersama agensi berkaitan termasuk MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) yang turut hadir hari ini,” katanya ketika meninjau pokok tersebut pada Isnin.
Pokok itu terletak di laluan denai kira-kira dua kilometer dari Titi Hayun dengan tempoh pendakian antara 30 minit hingga satu jam.
Bagaimanapun, Mohd Salleh menjelaskan kawasan tersebut masih belum dibuka kepada orang awam. Justeru, mana-mana pihak yang ingin melalui denai berkenaan perlu memohon permit daripada JPNK terlebih dahulu.
Sementara itu, Pegawai Hutan Daerah Kedah Tengah, Nor Shahrini Nordin Ahmad, berkata pokok yang terletak di laluan denai Puteri Mandi, Hutan Simpan Gunung Jerai, itu mempunyai ukur lilit banir kira-kira 25 meter atau bersamaan dengan anggaran 20 pemeluk orang dewasa.