KUALA TERENGGANU – Seorang peserta kudung kedua-dua tangan tetap bersemangat menyertai Kembara Merdeka membabitkan perjalanan sejauh 200 kilometer dari Kota Bharu, Kelantan ke bandar raya ini.
Peserta berkenaan, Mohd Jafri Daud, 34, memandu sendiri kereta sambil mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang konvoi anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Tok Jawa, Kelantan.
Program berlangsung pada 15 dan 16 Ogos lalu disertai 120 peserta menggunakan 24 motosikal, 18 kereta dan tiga pacuan empat roda bagi membawa mesej semangat patriotik menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
Pengerusi KRT Tok Jawa, Ahmad Zulhaidi Ab Rahman berkata, penyertaan Mohd Jafri menjadi simbol kekuatan semangat cintakan tanah air yang tidak terbatas kepada fizikal.
"Walaupun tanpa kedua-dua tangan, dia hadir bersama kami dan membuktikan semangat patriotik mengatasi segala kekurangan pada dirinya," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Menurutnya, kembara itu bukan sahaja menyemarakkan semangat kemerdekaan tetapi turut memupuk perpaduan antara jiran tetangga selain mengukuhkan hubungan erat antara Terengganu dan Kelantan.
Beliau berkata, program itu turut mendapat kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok yang memastikan kelancaran perjalanan kembara.
"Sepanjang perjalanan, setiap kenderaan mengibarkan Jalur Gemilang berkibar megah. Kami juga berterima kasih kepada IPD Bachok yang memberi kerjasama dan kelulusan menjayakan program ini.
"KRT Tok Jawa berhasrat menjadikan kembara ini sebagai acara tahunan dengan skala lebih besar dan penyertaan lebih ramai pihak pada masa akan datang," katanya.
Sementara itu, Mohd Jafri berkata, dia bersyukur kerana dikurniakan kesihatan dan masih berupaya untuk menyertai kembara itu.
"Sepanjang perjalanan, saya rasa bangga dapat mengibarkan Jalur Gemilang. Jika tiada halangan, saya akan menyertai program sama pada masa akan datang," ujarnya.