PUTRAJAYA – Pengurusan kes semakan kehakiman berhubung Titah Adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan antara tujuh kes menarik dijadualkan berlangsung minggu ini.
Baki enam kes lain ialah perbicaraan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad termasuk penyanyi, Naim Daniel serta saman Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini turut membabitkan permohonan ibu pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin dan dua semakan keputusan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony serta Toh Puan Na'imah Abdul Khalid.
Bagi kes Titah Adendum, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya menetapkan Isnin untuk pengurusan kes, selepas peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, 72, meminta supaya kes anak guamnya didengar dengan segera.
Ketika prosiding di hadapan panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, Muhammad Shafee berkata, perkara tersebut penting dan bersifat mendesak.
Katanya, ia disebabkan mereka mahu menyelesaikan dakwaan wujudnya titah tambahan Diraja itu, selain kesannya terhadap hukuman dihadapi bekas Ahli Parlimen Pekan terbabit.
Hakim, Hasnah yang bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah menetapkan pengurusan kes pada Isnin.
Sementara perbicaraan dalam tempoh sebulan selepas tarikh itu, selain mengarahkan pihak-pihak memfailkan penghujahan bertulis secara serentak.
Pada hari sama, prosiding kes Bung Moktar, 66 dan Zizie Izette, 47, akan dijalankan di Mahkamah Sesyen di sini.
Ia selepas mereka gagal dalam usaha terakhir untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini memerintahkan pasangan suami isteri itu membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
Bagaimanapun, terdapat ura-ura menyatakan kes di hadapan Hakim, Rosli Ahmad yang dijadualkan bermula Isnin hingga 20 Ogos akan ditangguhkan ke tarikh lain.
Pada 2 September 2022, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah itu, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka di akhir kes pendakwaan.
Menyentuh isu hiburan pula, sebutan kes amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan berumur 17 tahun membabitkan penyanyi Naim Daniel dijadualkan di Mahkamah Sesyen di Putrajaya pada Isnin.
Prosiding dihadapi Naim atau nama sebenarnya Muhammad Na'im Daniel Baharin, 28, akan dijalankan di hadapan Hakim, Datin M Kunasundary secara tertutup memandangkan mangsa terlibat merupakan remaja bawah umur.
Mengikut pertuduhan, penyanyi lagu 'Sumpah' itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan berumur 17 tahun tujuh bulan, bagi tujuan seksual, di sebuah hotel pada jam 8.56 malam, 19 Mei lalu.
Di Shah Alam pula, Mahkamah Tinggi di sini menetapkan Isnin untuk pengurusan kes saman fitnah Dr Mahathir terhadap Anwar, berhubung ucapan Perdana Menteri ke-10 itu dalam Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: 'Perlaksanaan Sebuah Idealisme', dua tahun lalu.
Berdasarkan kenyataan media, peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, pengurusan kes dijalankan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Donald Joseph Franklin pada jam 11.00 pagi ini.
Menurutnya, Dr Mahathir dijadualkan hadir bagi prosiding tersebut dan dijangka tiba 30 minit lebih awal.
Dalam dokumen yang difailkan pada 3 Mei 2023, Dr Mahathir selaku plaintif, memfailkan saman fitnah terhadap Anwar yang juga defendan, dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan berkenaan.
Dalam pernyataan tuntutan, Mahathir mendakwa Anwar telah mengeluar beberapa kenyataan yang berbaur fitnah termasuk kononnya plaintif ‘membolot’ harta untuk anak-anak dan keluarga selain memberikan layanan khas atau mengutamakan individu-individu yang berpangkat tinggi.
Dalam pada itu, Anwar yang merupakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam penyataan pembelaan, 14 Jun tahun sama mendakwa, saman Dr Mahathir sebagai melemahkan kredibilitinya selaku Perdana Menteri selain mewujudkan perpecahan kaum menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Anwar berkata, berdasarkan Sijil Perakuan Segera yang difailkan plaintif, ia menyatakan tindakan saman mesti dilupuskan dengan segera kerana (ketika itu) enam negeri akan membubarkan sidang DUN bagi memberi laluan kepada PRN.
Enam negeri itu ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Selasa ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam akan mendengar notis usul bagi mendapatkan kebenaran menggali semula kubur pelatih Palapes UTM Skudai, Syamsul Haris yang meninggal dunia ketika menjalani latihan pada Julai lalu.
Pada 14 Ogos lalu, ibu Allahyarham Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, selaku pemohon memfailkan notis usul dengan menamakan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Peguam Negara (AG), Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar selaku responden pertama dan kedua.
Beliau turut memohon perintah supaya kubur anaknya digali semula bagi dijalankan bedah siasat kedua.
Beliau juga memohon perintah bagi mengarahkan pakar forensik yang menjalankan bedah siasat mengeluarkan laporan dalam tempoh satu bulan dari tarikh ia dijalankan dan satu salinan diberikan kepada peguamnya.
Selain itu katanya, perintah yang mengarahkan Ketua Pengarah Bahagian Siasatan jenayah untuk melantik satu pasukan baharu dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk mengambil alih tugas seperti yang dilakukan di dalam kes kematian Zara Qairina Mahathir.
Ummu Haiman juga memohon perintah bagi mengarahkan AG menjalankan satu inkues bagi menyiasat punca kematian anaknya.
Pada Rabu pula, Mahkamah Rayuan di Putrajaya, panel tiga hakim akan mendengar semakan keputusan yang mengekalkan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 terhadap bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony.
Ia berkaitan kesalahan memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), 11 tahun lepas.
Prosiding dijalankan di hadapan panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah bersidang bersama-sama Datuk Lim Chong Fong dan Datuk Dr Lim Hock Leng.
Panel menetapkan tarikh itu selepas pihak-pihak terlibat bahawa prosiding pada 9 Julai lalu, ditangguhkan kerana mereka memerlukan alasan penuh penghakiman sebelum mendengar permohonan tersebut.
Khamis ini, Mahkamah Tinggi di sini akan menyampaikan keputusan permohonan Toh Puan Na'imah Abdul Khalid, balu bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permintaannya bagi merujuk persoalan undang-undang dalam kes aset yang tidak diisytihar.
Hakim K Muniandy menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar hujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How dan peguam, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili Na'imah.
Pada 23 Januari 2024, Na'imah didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal mematuhi notis untuk mengisytiharkan aset beliau termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah lain di Kuala Lumpur serta Pulau Pinang.