'Kerajaan dan Azam Baki kena jawab segera' - Puad Zarkashi

Iklan
Puad Zarkashi dan laporan Sinar Harian mengenai Azam dilapor memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

SHAH ALAM - Pihak kerajaan dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki digesa untuk segera memberi maklum balas berhubung dakwaan pemilikan saham dalam sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, penjelasan itu tidak boleh ditangguhkan.

Iklan
Iklan

"Yang ini kerajaan dan Azam Baki kena jawab segera. Jangan tangguh-tangguh.

"Semoga ia dibangkitkan dalam parlimen. Ia isu kepentingan awam, jangan sapu bawah karpet," katanya menerusi laman Facebook pada Selasa.

Iklan

Sebelum ini, Azam dilapor memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Ia sekali gus pendedahan awam pertama mengenai pegangan saham besar atas namanya sejak kontroversi beberapa tahun lalu berhubung pegangan sahamnya yang mencetuskan protes menuntut beliau meletakkan jawatan.

Iklan

Menurut laporan Bloomberg, Azam, 62, dikatakan memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.

Nilai pegangan tersebut dianggarkan bernilai hampir RM800,000 setakat penutupan dagangan pada Isnin.

Puad turut mempersoalkan kesahihan laporan berkenaan sama ada pemilikan tersebut mematuhi peraturan penjawat awam.

“Apakah benar? Apakah ia memang dibenarkan di bawah peraturan penjawat awam? Ini bukan kali pertama Azam Baki terlibat dalam kontroversi pemilikan saham,” katanya.