PASIR SALAK - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyokong tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan termasuk membocorkan maklumat operasi.
Beliau berkata, meskipun tahap keselamatan negara diyakini tidak terjejas, namun imej dan integriti pasukan pertahanan akan tercalar sekiranya pengkhianatan seumpama itu berlaku.
"Saya bersetuju dengan tindakan Menteri Pertahanan dan kenyataan Panglima Angkatan Tentera yang tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai terbabit.
“Jika benar perkara ini berlaku, ia harus dihentikan kerana ini soal imej pasukan pertahanan. Mereka sepatutnya menjalankan amanah dengan baik, bukan menggunakan pangkat atau jawatan untuk melakukan kerja di luar lunas undang-undang," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena program Santunan Desa Bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Komuniti Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Dewan Besar Felcra Changkat Lada, Seberang Perak di sini pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang; Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohd Hanafiah Man dan Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi Dewan Undangan Negeri Kampung Gajah yang juga Pengerusi Komuniti Kemas Parlimen Pasir Salak, Khairul Azwan Harun.
Ahmad Zahid menegaskan, tindakan tegas yang dikenakan itu diharap menjadi suatu pengajaran yang mahal dan wajar dijadikan iktibar oleh seluruh anggota pasukan keselamatan di negara ini.
"Mereka mungkin fikir pihak penguat kuasa tidak mengetahuinya tetapi ternyata mereka tersalah baca. Saya harap ini jadi pengajaran kepada semua pasukan penguat kuasa agar tidak melakukan kerja dan tujuan yang sama," katanya.
Terdahulu, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Op Sohor berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan yang dipercayai didalangi pegawai kanan ATM di selatan tanah air.
Dalam operasi itu, lima pegawai berpangkat Leftenan Kolonel dan Kapten ditahan bersama lima individu awam termasuk seorang warga Indonesia berusia antara 30 hingga 50-an di sekitar Lembah Klang.
Siasatan awal mendapati pegawai terbabit bersama dua bekas anggota ATM disyaki membocorkan maklumat operasi kepada penyeludup yang dipercayai membawa masuk dadah, rokok dan barangan lain dari negara jiran dengan nilai kira-kira RM5 juta sebulan.
Difahamkan, setiap perjalanan penyeludupan itu dipercayai melibatkan sogokan antara RM30,000 hingga RM50,000 yang diterima oleh suspek.