PASIR SALAK - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agar cadangan untuk menyerap jawatan kontrak kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) kepada status tetap dapat tersenarai dalam Belanjawan 2026.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, kerajaan kini sedang meneliti cadangan supaya jawatan kontrak berkenaan diserap sebagai tetap tanpa berpencen.
Bagaimanapun katanya, keputusan muktamad perlu dibuat di peringkat Jemaah Menteri kerana turut membabitkan implikasi kepada agensi dan kementerian lain.
"Kita telah meminta supaya perkara ini disegerakan kerana ada kemungkinan ia memberikan faedah yang baik serta tidak menimbulkan polemik.
"Sebaik-baiknya dimasukkan dalam ucapan Belanjawan 2026," katanya dalam sidang akhbar sempena program Santunan Desa Bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Komuniti Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Dewan Besar Felcra Changkat Lada, Seberang Perak pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang; Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohd Hanafiah Man; dan Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi Dewan Undangan Negeri Kampung Gajah yang juga Pengerusi Komuniti Kemas Parlimen Pasir Salak, Khairul Azwan Harun.
Ahmad Zahid berkata, pada asasnya, jawatan 'contract of service' di Kemas telah sedia ada, malah mereka turut mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
"Jika dikekalkan, ia tidak melibatkan perjawatan baharu atau tambahan besar kepada perbelanjaan," katanya.
Tambahnya, cadangan itu juga boleh dijadikan penanda aras bagi menyelesaikan isu serupa membabitkan jawatan kontrak di jabatan serta agensi kerajaan lain.
"Insya-ALLAH, kita akan pastikan pegawai kontrak Kemas ditempatkan di kedudukan yang lebih baik.
"Saya berharap semua warga Kemas terus bekerja dengan ikhlas dan amanah kerana selagi kita berada di peringkat kementerian, kita akan lakukan yang terbaik untuk kebajikan mereka," katanya.
Media pada Februari lalu melaporkan bahawa Kemas dalam proses membawa cadangan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyerap kira-kira 15,600 petugas kontraknya di seluruh negara kepada jawatan tetap.