KUALA LUMPUR – Polis menyerbu dua premis yang menjalankan penjualan rokok elektronik secara haram di Kangar, Perlis dengan jumlah rampasan keseluruhan bernilai RM315,900 dalam serbuan pada Jumaat lalu.
Operasi Bersepadu Op Taring Alpha 3 yang dikendalikan oleh Pasukan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) itu turut dijalankan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kangar (MPK).
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, tindakan tersebut dilakukan berdasarkan maklumat risikan dan aduan awam berhubung penjualan rokok elektronik secara haram di negeri berkenaan.
“Serbuan pertama dijalankan di kawasan Kampung Baru dan berjaya merampas 2,083 unit peranti serta cecair rokok elektronik pelbagai jenama bernilai RM104,150.
“Serbuan kedua pula dilakukan di kawasan Kampung Padang Behor dengan rampasan sebanyak 4,235 unit peranti dan cecair rokok elektronik pelbagai jenama bernilai RM211,750,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut Azmi, jumlah keseluruhan yang dirampas ialah 6,318 unit dengan nilai rampasan mencecah RM315,900.
Jelas beliau, pihak MPK telah mengeluarkan notis kesalahan dan kompaun terhadap penjaga premis atas pelanggaran di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.
“Semua barangan yang dirampas dipercayai untuk tujuan jualan, walaupun Kerajaan Negeri Perlis telah menguatkuasakan larangan penjualan rokok elektronik dan cecair vape bermula 1 Ogos lalu,” katanya.
Beliau menambah, operasi ini dilaksanakan di bawah pendekatan REFORM, iaitu gabungan kepakaran pelbagai agensi bagi memaksimumkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan.
“Polis bersama agensi-agensi berkaitan akan terus melaksanakan operasi secara berkala bagi membanteras penjualan vape haram serta memastikan kesejahteraan masyarakat terpelihara,” ujarnya.