NGAWI - Seorang lelaki yang menyamar sebagai dukun perubatan ditahan selepas didapati mencabul kanak-kanak bawah umur.
Kapolres Ngawi, AKBP Charles Pandapotan Tampubolon berkata, suspek yang berinisial SY itu merupakan seorang buruh harian mendakwa kononnya dia boleh merawat mangsa yang malas untuk ke sekolah dan tidak mahu mendengar kata keluarganya.
"Suspek kemudiannya membaca doa dan memberi nasihat kepada mangsa.
"Namun, suspek juga memberi alasan tidak dapat menahan nafsu kerana mangsa cantik dan masih muda," katanya.
Charles berkata, suspek berusia 45 tahun itu kemudiannya mengajak mangsa untuk melayan keinginan nafsunya.
Menurutnya, suspek turut mengugut dengan mengatakan bahawa jika mangsa tidak mengikut kehendaknya, dia akan mendoakan agar ibu bapa mangsa meninggal dunia.
Jelasnya, perbuatan suspek akhirnya terbongkar apabila nenek mangsa, SP, 78, berasa curiga dengan kaedah rawatan yang dilakukan oleh suspek terhadap mangsa.
"Nenek mangsa segera bertanya kepada mangsa tentang cara rawatan yang dilakukan oleh suspek.
"Setelah mendengar penjelasan daripada mangsa, neneknya membuat laporan kepada Balai Polis Sine," ujarnya.
Hasil siasatan mendapati suspek mengaku telah memperdaya mangsa sebanyak dua kali iaitu pada April dan Jun 2025 di lokasi yang berbeza.
"Perbuatan pertama kali berlaku di rumah suspek di Kecamatan Sine, manakala kali kedua berlaku di rumah nenek mangsa," menurutnya.