BANDAR SERI BEGAWAN – Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin berkenan mengurniakan nama kepada cucunda Baginda, iaitu anakanda kepada Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam.
Cucunda berkenaan dinamakan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Zahra Mariam Bolkiah, lapor Media Permata.
Dalam pada itu, seluruh kerabat diraja turut menyampaikan penghargaan kepada semua yang terlibat sepanjang proses kelahiran dan pengurniaan nama.
"Ucapan terima kasih juga diberikan kepada rakyat yang menyampaikan perutusan tahniah dan ucapan selamat atas kelahiran cucunda Baginda itu pada Ahad, 20 Syaaban 1447 bersamaan 8 Februari 2026, jam 8:50 pagi," menurut Pejabat Sultan Brunei.
Perkhabaran gembira ini menandakan sambutan penuh kegembiraan di kalangan keluarga diraja serta rakyat Brunei Darussalam.
Sebelum itu, pasangan diraja berkenaan berkongsi gambar puteri sulung mereka di media sosial Instagram.
Dalam hantaran itu, Putera Mateen menzahirkan ucapan terima kasih kepada pasukan hebat di Jerudung Park Medical Centre (JPMC), Brunei Darussalam.
Untuk rekod, Putera Mateen merupakan anak ke-10 dan putera keempat kepada Sultan Hassanal Bolkiah dan bekas isteri baginda, Hajah Mariam Abdul Aziz. -Agensi