[VIDEO] Himpunan 'Justice for Zara': Polis pantau ucapan, siasatan dibuka jika sentuh isu 3R

Iklan

KUALA LUMPUR – Polis tidak akan teragak-agak membuka kertas siasatan sekiranya terdapat ucapan dalam himpunan 'Justice for Zara' yang melanggar undang-undang atau menyentuh isu sensitif 3R (agama, kaum dan institusi diraja).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pasukan perakam ditempatkan sepanjang perhimpunan itu bagi tujuan pemantauan.

Iklan
Iklan

Sulizmie Affendy

“Sekiranya terdapat ucapan yang dikenal pasti melanggar undang-undang atau menyentuh sensitiviti, kertas siasatan akan dibuka.

Iklan

"Dalam masa sama individu berkaitan akan dipanggil untuk siasatan selanjutnya sekiranya ada keperluan,” katanya pada sidang media selepas himpunan di hadapan pusat beli-belah Sogo, Sabtu malam.

Sulizmie berkata, himpunan yang bermula pada jam 8.30 malam dan berakhir kira-kira jam 11 malam itu berlangsung dalam keadaan aman tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Iklan

Menurutnya, seramai 100 pegawai dan anggota polis ditugaskan bermula jam 7.30 malam sehingga semua peserta bersurai, manakala anggota trafik turut dikerahkan bagi memastikan kelancaran lalu lintas di kawasan sekitar.

“Anggaran jumlah kehadiran malam ini adalah antara 400 hingga 450 orang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa penganjur dan peserta perlu memastikan himpunan berlangsung secara aman serta mematuhi peruntukan undang-undang.

“Sekiranya berlaku pelanggaran, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas,” katanya.

Himpunan anjuran badan bukan kerajaan (NGO) itu turut dihadiri pempengaruh media sosial.

Peserta berpakaian serba hitam sambil membawa plakad, sepanduk dan kain rentang bertulis 'Justice for Zara' serta 'Say No To Buli'.

Suasana turut diselubungi rasa hiba apabila himpunan diiringi dengan lantunan lagu Justice For Zara Qairina sebelum peserta melaungkan slogan 'Justice for Zara' beramai-ramai.