Selangor mulakan kempen ACL2 jumpa Bangkok United

Iklan
Jadual ACL2 Selangor FC musim 2025/26. Infografik Selangor FC

SELANGOR FC bakal memulakan kempen Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) 2025/26 dengan menentang kelab Thailand, Bangkok United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 18 September ini.

Gergasi Merah kendalian Katsuhito Kinoshi yang diundi dalam Kumpulan G turut sepasukan dengan dua lagi kelab serantau iaitu Lion City Sailors dari Singapura dan Persib Bandung dari Indonesia.

Iklan
Iklan

Selepas aksi pembukaan menentang Bangkok United, Selangor akan berkunjung ke Stadium Bishan, Singapura pada 1 Oktober untuk pertemuan dengan Lion City Sailors.

Pada 23 Oktober, Selangor berdepan cabaran getir di hadapan puluhan ribu penyokong fanatik apabila menentang Persib Bandung di Stadium Gelora Bandung Lautan Api, Indonesia.

Iklan

Gergasi Merah kemudiannya akan menerima kunjungan Persib bagi aksi timbal balik di Stadium MBPJ pada 6 November.

Anak buah Kinoshi selepas itu bertandang ke Stadium Pathum Thani menentang Bangkok United pada 26 November, sebelum menutup saingan peringkat kumpulan dengan aksi di laman sendiri menentang Lion City Sailors pada 10 Disember.

Iklan

Sementara itu, Kinoshi menetapkan sasaran mara ke pusingan kalah mati ACL2 sebagai fokus utama Selangor sebelum memikirkan langkah seterusnya.

Jelas pengendali kelahiran Jepun itu, setiap perlawanan akan dihadapi secara berperingkat dengan keutamaan meningkatkan prestasi pasukan dan kematangan pemain.

“Sudah tentu kami mahu menang setiap perlawanan, tetapi sasaran utama adalah layak ke pusingan kalah mati. Selepas itu barulah kita fikir apa langkah seterusnya.

“Saya mahu jadikan pasukan ini lebih baik, sama ada saingan ACL2 mahupun Liga Super,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran menentang kelab jiran serantau, Kinoshi mengakui faktor geografi memberi sedikit kelebihan dari sudut kecergasan, namun tetap menegaskan semua pasukan lawan mempunyai kualiti tersendiri.

“Pasukan lawan kami dekat dengan negara kita, jadi ia baik untuk mengekalkan kecergasan. Kami juga perlu berada pada tahap terbaik kerana mereka ada sejarah dan kekuatan tersendiri.

“Bagi saya, perkara paling penting adalah siapa kami dan bagaimana corak permainan yang boleh dipamerkan, kami mesti bersedia tanpa mengira siapa lawan,” katanya.

Musim lalu, perjalanan Selangor terhenti di peringkat kumpulan selepas menamatkan saingan di tangga ketiga dengan 10 mata, ketinggalan satu mata di belakang Muangthong United dari Thailand (11 mata) dan dua mata di belakang juara kumpulan, Jeonbuk Hyundai dari Korea Selatan (12 mata). Cebu FC dari Filipina pula menutup saingan di tangga tercorot.