Piala FA: Selangor bawa bekalan selesa ke aksi timbal balik suku akhir

Iklan
Pemain Selangor FC, Eduardo Jose Sosa Vegas (tengah) diasak dua pemain Star City FC pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA 2026/2027 di Stadium Tuanku Syed Putra, pada Sabtu. Foto Bernama

SELANGOR FC membawa bekalan selesa menjelang aksi timbal balik suku akhir Piala FA 2026/2027, selepas menewaskan Star City FC (SCFC) 4-1 pada aksi pertama di Stadium Tuanku Syed Putra, di sini, malam ini.

Skuad Gergasi Merah kendalian Kim Pan Gon bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan pemain tengah SCFC Moses Atede, pada minit ke-17.

Iklan
Iklan

Selangor hanya memerlukan tiga minit untuk menyamakan kedudukan menerusi penyerang Chrigor Moraes pada minit ke-20, sebelum Pernambuco meletakkan pasukan pelawat di depan pada minit ke-43.

Memasuki babak kedua, Selangor terus memperkemas permainan, apabila Chrigor meledak gol keduanya pada minit ke-60 untuk melebarkan kelebihan kepada 3-1.

Iklan

SCFC yang dibimbing Mehmet Durakovic cuba bangkit, namun Chrigor melengkapkan hatrik menerusi jaringan pada minit ke-87, bagi memastikan Selangor membawa pulang kemenangan 4-1.

Pada minit ke-46, pengadil Muhammad Nazmi Nasaruddin pada awalnya menghadiahkan sepakan penalti kepada Selangor, namun semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati tiada kesalahan dilakukan pemain tuan rumah.

Iklan

Selangor sebelum ini mengesahkan kemaraan ke suku akhir selepas menewaskan Sabah FC 4-3 secara agregat, manakala SCFC menyingkirkan Kedah FA 4-2 secara agregat, pada pusingan 16 terbaik di Stadium Tuanku Syed Putra.

Kemenangan itu menyaksikan Selangor memiliki kelebihan tiga gol menjelang aksi timbal balik menentang SCFC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pada 11 Oktober depan. - Bernama