Skuad junior BAM bolot empat gelaran di Alor Setar

Iklan
Skuad junior BAM mengungguli empat daripada lima kategori Pusingan Kedua Kejohanan Kebangsaan B-18 2026 di Alor Setar, Kedah. Foto: Badminton Association of Malaysia - BAM

 

SKUAD junior Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melabuhkan tirai Pusingan Kedua Kejohanan Kebangsaan Bawah 18 Tahun (B-18) 2026 dengan merangkul empat gelaran daripada lima di Alor Setar, Kedah.

Iklan
Iklan

 

Dalam acara beregu lelaki, Irfan M Shazmir-Damien Ling menewaskan rakan sepasukan, Khairul Azlan Khashah-Yusuf M Iqbal 15-9, 15-13 dalam tempoh 22 minit untuk muncul juara.

Iklan

 

Shazmir mengakui lega selepas berjaya mengesahkan kemenangan, terutama apabila kedua-dua pasangan berdepan keadaan gelanggang yang mencabar.

Iklan

 

“Saya sangat lega selepas mata terakhir berjaya kami peroleh untuk memastikan kemenangan.

 

“Keadaan gelanggang agak panas dan berbahang, tetapi kami tetap mampu berjuang hingga mata terakhir,” katanya.

 

Menurut Shazmir, kedua-dua pasangan turut melakukan penyesuaian sepanjang perlawanan akhir kerana menjalani latihan di bawah jurulatih sama.

 

Acara beregu campuran pula, Irfan M Shazmir-Genevie Lim muncul juara selepas menewaskan Yusuf M Iqbal-Teh Si Yan 15-11, 15-10 dalam tempoh 20 minit.

 

Lim Boon Le kemudian menambah satu lagi gelaran buat skuad junior BAM apabila menjuarai acara perseorangan lelaki selepas mengatasi Chong Lee Qian 9-15, 17-15, 15-8 dalam pertarungan selama 50 minit.

 

Saingan beregu wanita, Nur Aina Maisarah Hatta-Teh Si Yan juga turut menyumbang gelaran selepas menewaskan Rachel Tan-Teh Xin Ying 15-11, 16-14 dalam aksi 30 minit.

 

Bagaimanapun, skuad junior negara terlepas gelaran perseorangan wanita apabila wakil Sabah, Saidatul Saadiah menewaskan pemain junior negara, Lee Kay Xin 7-15, 17-15, 15-8 dalam pertarungan sengit selama 50 minit.