PETARUNG Muay Thai negara, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali sebagai Miki Ghazali meneruskan rentak cemerlang di Siri Dunia Rajadamnern (RWS) apabila menewaskan wakil Algeria, Zaid Zirem menerusi keputusan sebulat suara (UD) di Thailand pada Sabtu.
Miki mempamerkan aksi agresif terutama pada dua pusingan terakhir apabila berani melepaskan pelbagai variasi serangan siku yang mencuri perhatian penonton di Stadium Rajadamnern, Bangkok.
Zaid terlebih dahulu memberikan tekanan pada pusingan pembukaan, memaksa Miki lebih banyak bertahan sambil mencari peluang untuk membaca gerakan lawannya.
Bagaimanapun, memasuki pusingan kedua, Miki mula mengubah corak pertarungan apabila tampil lebih agresif dan meningkatkan kekerapan serangan ke arah petarung Algeria itu.
Antara yang menarik perhatian adalah percubaan 'siku berputar' dan 'siku terbang' yang dilancarkan Miki, selain beberapa serangan tepat yang menyukarkan Zaid untuk mengawal rentak pertarungan.
Zaid terus memberikan tentangan sengit pada pusingan terakhir, namun Miki kekal tenang dan berjaya mengekalkan kelebihan sehingga loceng penamat dibunyikan.
Tiga juri kemudian memberikan kemenangan kepada Miki dengan keputusan 30-27, 29-28 dan 29-28 untuk mengesahkan kemenangan menerusi UD.
Kemenangan itu menambah satu lagi catatan positif buat Miki di pentas RWS apabila mencipta kemenangan pada penampilan sulungnya setelah menewaskan petarung Iran, Reza Dotielmi menerusi keputusan majoriti Februari lalu.
Sebagai rekod Miki merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA Thailand 2025.