KUALA LUMPUR - Laungan"Justice for Zara" bergema dalam himpunan yang diadakan di sekitar pekarangan pusat beli-belah Sogo di sini pada Sabtu.
Peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur mula memenuhi lokasi seawal jam 8 malam.
Terdahulu, kelihatan petugas keselamatan menjalankan pemantauan di sekitar lokasi himpunan bagi memastikan ia berlangsung dalam suasana aman.
Turut kelihatan beberapa aktivis masyarakat menyampaikan ucapan solidariti, menuntut agar nasib pelajar berusia 13 tahun itu mendapat pembelaan sewajarnya.
Orang ramai turut memegang plakad bertulis 'Justice For Zara Qairina' dan 'Kami Tolak Buli' sambil melaungkan slogan solidariti tersebut.
Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah, ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolah sekitar jam 4 pagi pada 16 Julai lalu.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, namun disahkan meninggal dunia pada 17 Julai.
Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan kubur Allahyarham digali semula pada 8 Ogos, manakala bedah siasat kedua dijalankan pada 9 Ogos.
Laporan awal forensik mendedahkan Zara meninggal dunia akibat kecederaan otak teruk yang konsisten dengan kesan jatuh dari aras tinggi.
Polis turut menyiasat kemungkinan wujud unsur buli sebelum kejadian.
Setakat ini, polis telah mengambil lebih 80 keterangan saksi termasuk pelajar, manakala AGC mengumumkan satu inkuiri penuh akan dijalankan di Mahkamah Koroner bagi menentukan punca sebenar kematian.