PISSF 2025 catat rekod kedua MBOR

Iklan
Wan Rosdy menandatangani pengiktirafan MBOR selepas selepas 22,825 peserta dari luar negara menyertai festival itu di SUKPA di sini pada Sabtu.

KUANTAN - Pahang International Scout Scarf Festival (PISSF) 2025 sekali lagi mencipta sejarah apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) dengan penyertaan paling ramai di Stadium Tertutup Sukan Pahang (SUKPA) di sini pada Sabtu.

Rekod itu dilakar dengan penyertaan 22,825 peserta dari seluruh negara termasuk penglibatan 12 negara iaitu Indonesia, Brunei, Pakistan, Vietnam, Filipina, Thailand, India, Singapura, Arab Saudi dan Jepun.

Iklan
Iklan

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, angka itu sekali gus menjadikan festival berkenaan paling ramai penyertaan pernah direkodkan sebelum ini.

“Saya sangat menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur yang berjaya menganjurkan program ini.

Iklan

“Bukan mudah menguruskan festival sebesar ini kerana kehadiran peserta yang begitu ramai, namun tujuan utama kita ialah menyemai disiplin, mengajar anak-anak menghormati orang lain serta membentuk mereka sebagai pemimpin masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan PISSF 2025 di SUKPA pada Sabtu.

Iklan

Wan Rosdy memaklumkan kehadiran puluhan ribu peserta sekali gus menepis dakwaan kononnya Pahang ketinggalan.

“Mereka dapat melihat sendiri pembangunan yang ada di negeri ini, sebab itu saya minta mereka mengikuti laman sosial rasmi untuk mengetahui perkembangan semasa Pahang,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy turut berpesan kepada anak muda supaya sentiasa menghargai persahabatan dan menjaga silaturahim.

“Kita mesti belajar menghormati perbezaan pandangan. Yang penting cari titik persamaan dan dengan ukhuwah yang kuat, kita boleh membangunkan negeri dan negara,” katanya.

Beliau memberitahu kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan kehadiran anak-anak pengakap ke Pahang kerana penganjuran tersebut turut memberi limpahan ekonomi, selain mempromosikan negeri.

“Kehadiran peserta memberi manfaat kepada hotel, restoran dan peniaga kecil.

“Mereka juga dapat melihat sendiri pembangunan di Pahang sekali gus menepis (sekiranya ada) tuduhan dan tohmahan liar yang mengatakan Pahang tidak membangun,” katanya.