BIARPUN beregu badminton wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah menerima undian yang dianggap mudah pada Kejohanan Dunia 2025 di Paris, Perancis, ketua jurulatih Rosman Razak enggan terlalu memikirkan perkara itu.
Sebaliknya, beliau menegaskan tumpuan utama adalah memastikan anak buahnya benar-benar bersedia menghadapi setiap perlawanan pada kejohanan berprestij tersebut.
Malah katanya, perlawanan pertama juga dianggap sebagai penting kerana ia adalah masa buat mereka menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang dan bulu tangkis.
“Kita tidak mahu berfikir terlalu jauh, selain enggan fikir siapa lawan yang akan kita jumpa.
“Apa yang perlu kita buat adalah untuk persiapan pemain-pemain di kejohanan itu yang mana kita perlu pastikan mereka benar-benar bersedia dan fokus pada hari perlawanan,” katanya ketika ditemui media selepas sesi latihan di Bukit Kiara pada Jumaat.
Pada majlis undian Rabu lalu, Pearly-Thinaah mendapat undian mudah apabila tidak berdepan masalah untuk melangkah ke separuh akhir.
Pilihan kedua itu menerima bye di pusingan pertama dan dijangka berdepan pasangan ranking ke-14 dunia dari Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti di suku akhir dengan rekod pertemuan memihak kepada gandingan negara.
"Mengikut rekod, kita selalu bergelut dengan mereka, walapun kita menang. Jadi kita kena berhati-hati. Permainan awal sangat penting dan saya harap kita boleh melepasi pusingan ini," ujar Rosman.
Mengulas mengenai impian untuk membawa pulang pingat beliau berkata, segala perancangan yang dilakukannya bersama barisan kejurulatihan berjalan sempurna dan menuju ke arah pemburuan podium.
"Semua pasangan mengimpikan perkara sama (pingat). Kami berlatih ke arah itu dan berharap dapat melepasi halangan itu," katanya.
Malah Rosman turut memaklumkan bahawa tiada sebarang kecederaan yang dialami beregu wanita negara yang terlibat di kejohanan berkenaan.
"Kami fokus kepada apa yang perlu dilakukan dalam latihan dan persediaan mereka berjalan dengan baik," katanya.
Selain Pearly-Thinaah Malaysia turut akan diwakili Go Pei Kee-Teoh Mei Xing dalam acara beregu wanita di mana kedua-dua pasangan negara itu mendapat bye pada pusingan pertama.