KUANTAN - Kerajaan Pahang akan mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape di semua premis perniagaan di negeri ini bermula tahun hadapan.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, larangan itu akan dikuatkuasakan selepas tempoh kelonggaran diberikan hingga hujung tahun ini kepada peniaga untuk menghabiskan stok sedia ada.
Menurutnya, kerajaan negeri memandang serius isu penggunaan vape kerana ia banyak disalahgunakan sama ada di peringkat sekolah dan golongan anak muda.
"Kita sudah bagi masa hingga hujung tahun. Tahun hadapan kita tidak lagi mengeluarkan lesen-lesen kebenaran menjual vape di premis-premis perniagaan.
"Maknanya tindakan penguatkuasaan juga mesti dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan selepas tempoh itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pasar Segar Serambi Teruntum di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Mohammad Fakhruddin turut merakamkan penghargaan kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas keprihatinan Baginda terhadap isu vape itu.
"Baginda sering menekankan tentang bahaya dan masalah penyalahgunaan vape ini dalam titahnya.
"Justeru itu kita mengambil langkah-langkah yang bersesuaian bagi memastikan titah ucapan tersebut dapat kita laksanakan sebaik mungkin di negeri ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Mohammad Fakhruddin memaklumkan kerajaan negeri merancang melaksanakan projek sisa buangan kepada tenaga (WTE) di Kuantan dan Temerloh.
Beliau berkata, projek itu akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun bagi mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan konvensional dan menyokong sasaran negeri sifar bersih karbon (net zero) menjelang 2030.
"Fasa pertama projek WTE ini akan dibangunkan di Kuantan dengan kapasiti kira-kira 600 hingga 1,000 tan sisa sehari melibatkan sisa dari daerah Rompin, Pekan dan Kuantan.
Tapak cadangan projek ini di Gebeng namun tertakluk kepada kelulusan kerajaan negeri.