GEORGE TOWN – Polis menerima dua laporan berhubung satu pautan video di Facebook menggunakan nama Akmal Saleh (Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh) yang tular baru-baru ini, dipercayai mengandungi kenyataan berunsur kebencian (hate content).
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, laporan pertama diterima di Bukit Mertajam pada 12 Ogos lalu.
Tambahnya, setakat ini dua laporan polis diterima daripada orang awam di negeri ini dan kedua-duanya disiasat di bawah peruntukan undang-undang yang sama.
Menurutnya, kandungan video itu dipercayai boleh menimbulkan kegusaran masyarakat setempat serta menggugat ketenteraman awam.
“Berikutan itu, siasatan dimulakan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Siasatan awal dijalankan oleh Polis Pulau Pinang sebelum kes diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman pada 15 Ogos,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu, Muhamad Akmal di dalam Facebooknya telah menyatakan niat untuk datang ke Pulau Pinang pada petang Khamis bagi melihat bendera besar dan menikmati nasi kandar.
Muhamad Akmal berkata demikian selepas Polis Pulau Pinang menasihati orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan yang dijadualkan di Bertam, Kepala Batas, bagi menjaga keselamatan penduduk setempat dan ketenteraman awam.
Sementara itu, pada Khamis, Muhamad Akmal mengetuai Perhimpunan Solidariti Jalur Gemilang Tanah Tumpahnya Darahku yang dihadiri kira-kira 500 ahli UMNO, Pas dan Bersatu di Bertam, Kepala Batas.
Menurutnya, perhimpunan itu diadakan sebagai tanda solidariti dan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
Bagaimanapun, perhimpunan tersebut menjadi kecoh apabila sekumpulan individu diketuai Peguam dan Pengarah Lawyers For Liberty Malaysia, Zaid Malek, memegang beberapa kad antaranya bertulis “Jangan Bersikap Zionist” dan “Jangan Buli”.
Namun, tiada tangkapan atau insiden tidak diingini berlaku selepas perhimpunan itu bersurai kira-kira setengah jam berkumpul di kawasan berkenaan.