Jangan tangguh gubal Akta Anti Buli - GAB

Iklan
Wan Azliana (tiga dari kiri) dan Mohamed Haniff (dua dari kiri) ketika sidang akhbar di Setiawangsa pada Jumaat. FOTO: SINAR HARIAN - ASRIL ASWANDI SHUKOR

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menggubal Akta Anti Buli bagi menangani isu itu secara menyeluruh dengan memberi perlindungan, hukuman berkesan kepada mangsa dan pelaku.

Pengerusi Sekretariat Gerakan Gubal Akta Anti-Buli (GAB), Wan Azliana Wan Adnan berkata, usaha itu telah dimulakan oleh pihaknya sejak 2022 namun sehingga kini tiada kemajuan konkrit.

Iklan
Iklan

“Pelbagai memorandum telah diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) tetapi pihak berkuasa masih gagal mengambil langkah proaktif,” katanya ketika sidang akhbar pada Jumaat.

Hadir sama, Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla; peguam, Abdul Hayyi Salim; Pengarah Urusan dan Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja CPC International, Dr Noor Aishah Rosli dan peguam, Diyana Ibrahim.

Iklan

Menurutnya, ketiadaan undang-undang khusus menyebabkan mangsa terus terdedah tanpa perlindungan, manakala pelaku berani mengulangi perbuatan kerana tiada hukuman yang konsisten.

“Buli di sekolah semakin membimbangkan. Pelaku tidak lagi takut kepada tindakan undang-undang, manakala mangsa dan ibu bapa buntu mencari saluran selamat untuk membuat laporan,” katanya.

Iklan

Statistik KPM menunjukkan kes buli meningkat daripada 7,360 pada 2022 kepada 8,820 pada 2023, iaitu kenaikan 20 peratus.

Setakat Oktober 2024, sebanyak 5,703 kes direkodkan melibatkan 11,594 pelajar.

Bentuk buli merangkumi tindakan fizikal seperti menolak, memukul, mengugut serta buli lisan melalui ejekan, penghinaan dan penggunaan bahasa kesat.

Wan Azliana (tengah) menjawab pertanyaan pihak media dalam sidang akhbar yang diadakan pada Jumaat. FOTO: SINAR HARIAN - ASRIL ASWANDI SHUKOR

Fenomena buli siber turut meningkat apabila media sosial digunakan untuk menyebar mesej kebencian, gambar atau video memalukan.

Kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 2023 mendapati satu daripada tiga pelajar sekolah menengah pernah menjadi mangsa buli siber, namun lebih separuh tidak melaporkan kejadian kerana takut tindakan balas atau kurang percaya kepada sistem sekolah.

Jelasnya, Akta Anti-Buli yang dicadangkan perlu menjadi ‘payung undang-undang’ merangkumi semua bentuk buli fizikal, lisan, siber, mental serta gangguan emosi dengan definisi jelas, hak dan tanggungjawab semua pihak termasuk pentadbir institusi, pelaku dan mangsa.

Sementara itu Mohamed Haniff Khatri berkata, gerakan itu tidak menuding jari mengatakan undang-undang sedia ada tidak bagus.

Sebaliknya beliau mencadangkan hukuman alternatif yang lebih berkesan dilaksanakan terhadap kes buli melibatkan pelaku di bawah umur 18 tahun bagi memastikan kesedaran dan perubahan sikap dapat dicapai.

Mohamed Haniff berkata walaupun undang-undang yang diperkenalkan sejak 11 Julai lalu (pindaan Kanun Keseksaan melalui Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 [Akta A1750) yang memasukkan seksyen baharu 507B hingga 507G, ianya tidak terpakai kepada pelaku bawah umur kerana mereka diiktiraf sebagai kanak-kanak atau juvana.

“Kalau buli berlaku di sekolah dan melibatkan pelaku di bawah umur 18 tahun, mereka tidak boleh dipenjarakan. Jadi walaupun undang-undang menetapkan penjara 100 tahun sekali pun, ia tidak akan terpakai kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, pelaku juvana biasanya hanya dikenakan hukuman alternatif seperti berada di bawah kelakuan baik atau penjagaan ibu bapa, namun pendekatan itu menimbulkan persoalan mengenai keberkesanannya.

“Kalau setakat penjagaan atau kelakuan baik, apakah kesannya? Adakah ia mampu mengubah sifat pelaku?” soal beliau.

Hanif mencadangkan supaya hukuman alternatif berbentuk penggantungan tahun pembelajaran dilaksanakan, dengan pelaku diwajibkan mengulang tahun persekolahan.

“Sebagai contoh, jika dia di Tingkatan 3, dia perlu mengulang semula Tingkatan 3 tahun berikutnya. Hukuman ini bukan pemenjaraan, tetapi memberi kesan langsung kepada masa dan perjalanan akademik pelaku,” jelasnya.

Beliau menegaskan, cadangan itu bukanlah satu kewajipan untuk dilaksanakan, sebaliknya boleh dijadikan pertimbangan bagi memperkukuh keberkesanan hukuman terhadap kesalahan buli oleh juvana.

“Ini hanya cadangan, bukan perkara yang mesti diwajibkan. Tujuannya untuk memastikan hukuman memberi kesan pembelajaran dan pencegahan kepada pelaku, bukan sekadar formaliti,” katanya.

Orang ramai boleh menandatangan petisyen bagi menyokong Akta Anti Buli digubal menerusi https://chng.it/5g4CLNHknf