Mangsa dipercayai sesat 3 hari sebelum ditemui maut di Air Terjun Teluk Sanau

Iklan
Laporan Sinar Harian pada pagi Jumaat.

BALING – Seorang lelaki yang ditemukan meninggal dunia di dalam hutan berdekatan Air Terjun Teluk Sanau di sini pada awal pagi Jumaat dipercayai sesat tiga hari sebelum mayatnya dijumpai.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa dilaporkan sesat ketika mencari petai di Hutan Simpan Gunung Inas pada Selasa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa yang menetap di Pengkalan Hulu, Perak dipercayai telah tersesat semasa bersama-sama mencari petai di kawasan hutan tersebut.

“Maklumat awal ini diperoleh berdasarkan temu bual ke atas saksi, iaitu adik kepada mangsa yang berusia 36 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Iklan

Adzli berkata, mangsa sempat memaklumkan dirinya tersesat dan berada di kawasan Air Terjun Teluk Sanau Dalam sebelum usaha mencari dilakukan secara persendirian oleh penduduk tempatan selama dua hari.

“Sebelum itu, Balai Polis Baling menerima panggilan daripada seorang lelaki berhubung penemuan mayat mangsa berusia 40-an di lokasi berkenaan kira-kira jam 1.40 pagi.

Iklan

“Pasukan polis bersama anggota bomba dan penduduk kampung bergegas ke tempat kejadian sebelum menemui mayat dalam keadaan bersandar pada batu di kawasan air terjun tersebut,” katanya.

Menurut Adzli, operasi mencari mangsa turut melibatkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, Balai Bomba dan Penyelamat Baling serta penduduk kampung yang akhirnya berjaya mengesan lokasi mangsa.

Mayat kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Baling untuk proses bedah siasat.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan penemuan mayat seorang lelaki di dalam hutan berdekatan air terjun di Kampung Teluk Sanau pada awal pagi Jumaat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil memaklumkan, pihaknya menerima panggilan daripada polis untuk membantu mencari dan menyelamat mangsa lemas di hutan air terjun berkenaan pada jam 2.34 pagi.

Sepasukan anggota BBP Baling tiba di lokasi tidak lama kemudian untuk membantu mengangkat mayat berkenaan pada ketinggian lebih 9 meter.

Anggota bomba mengambil masa hampir dua jam untuk membawa mangsa ke bawah berikutan keadaan tebing curam dan struktur muka bumi tidak sekata selain hujan renyai serta gelap.