PASIR SALAK – Musim durian di daerah Perak Tengah tahun ini dijangka berlanjutan sehingga hujung November atau Disember berikutan faktor cuaca panas berpanjangan sejak Mei lalu.
Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Perak Tengah, Nordin Abdul Malek berkata, keadaan itu menyebabkan proses pendebungaan lebih baik, sekali gus menghasilkan buah yang lebih banyak berbanding tahun sebelumnya.
Menurutnya, fenomena kali ini agak unik kerana dalam tempoh sama ada pokok berbuah dan berbunga serentak, berbeza dengan kebiasaan musim durian yang berlaku secara berperingkat.
“Jun dan Julai lalu ada pokok sudah gugur buah, tapi masih berbunga semula. Saya yakin putik yang ada sekarang akan gugur hujung September atau awal Oktober sebelum musim berterusan sampai November.
"Cuma cabaran besar ialah perosak tanaman seperti monyet dan beruk yang menjadikan kebun sasaran sekali gus pekebun akan mengalami kerugian,” katanya kepada Sinar Harian di Kompleks Institut Agro Usahawan (iGrow) di sini baru-baru ini.
Nordin yang juga Pengerusi Eksekutif iGrow mencadangkan kerajaan negeri serta pihak berkepentingan segera mengatur program seperti pesta durian di daerah berkenaan bagi memanfaatkan limpahan hasil kali ini.
Beliau berkata, penganjuran pesta itu bukan sekadar memeriahkan musim tetapi dapat menjana pendapatan pekebun kecil, membuka peluang penghasilan produk hiliran berasaskan durian dan merancakkan pelancongan luar bandar.
"Durian boleh jadi penjana ekonomi luar bandar. Pekebun dengan satu atau dua ekar pun boleh dapat RM10,000 hingga RM20,000 semusim.
"Dari sekarang kita patut sedia dengan produk hiliran lain seperti aiskrim durian, kek durian, dodol durian dan pelbagai lagi produk berasaskan durian untuk dipasarkan,” ujarnya.
Menurutnya, iGrow akan menaik taraf kompleks sedia ada untuk menerima kunjungan peminat durian kampung premium seperti varieti paduka, emas dan D24 selain merancang program santai diraja yang menjemput keluarga Diraja Perak ke Mukim Pulau Tiga.
Pihaknya turut akan bekerjasama dengan beberapa kementerian untuk menganjurkan pelbagai program seperti pelancongan pendidikan pada Oktober atau November supaya kemeriahan musim durian kali ini dapat dinikmati orang ramai.