SEJAK akhir-akhir ini isu kibar Jalur Gemilang terbalik menjadi satu polemik dalam negara, apatah lagi kita dalam bulan sambutan kemerdekaan yang ke-68.
Malangnya sesetengah pihak lebih gemar ambil video dan gambar untuk sebarkan ke media sosial.
Tetapi yang menyebarkan tidak bertindak untuk menegur tentang kesalahan tersebut.
Inilah dia golongan batu api merujuk kepada individu yang suka menghasut, menyebarkan fitnah atau memperbesar-besarkan isu demi menimbulkan perbalahan.
Walaupun kadangkala kelihatan remeh, peranan mereka sangat berbahaya kerana mampu memecah-belahkan perpaduan yang telah dibina sekian lama.
Di peringkat keluarga, batu api boleh menyebabkan keretakan hubungan adik-beradik. Di tempat kerja, mereka menimbulkan suasana toksik yang merosakkan kerjasama.
Lebih membimbangkan, di peringkat negara, batu api boleh menjadi pencetus ketegangan kaum, agama, dan politik.
Mereka biasanya licik, bijak bermain kata, dan tahu memanipulasi emosi orang lain. Segala perbualan mereka mempunyai tujuan tersirat – bukan untuk mencari penyelesaian, tetapi untuk mengeruhkan lagi keadaan.
Sejarah dunia telah membuktikan bahawa perang saudara, rusuhan, malah kejatuhan sesebuah kerajaan sering berpunca daripada hasutan pihak tertentu.
Masyarakat harus lebih peka dan tidak mudah terpengaruh dengan kata-kata yang belum tentu benar.
Sumber maklumat perlu disemak, dan setiap isu perlu dinilai dengan akal yang waras. Batu api hanya berjaya apabila kita memberi ruang kepada hasutan mereka.
Jika masyarakat bersatu dan berpegang pada fakta, kuasa batu api akan hilang dan keamanan negara dapat terus dipelihara.