TEMERLOH - Teknik penghasilan 'kelapa telur' antara tarikan pengunjung di reruai Taman Agroteknologi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Cherating.
Penghasilan itu dilakukan menerusi demonstrasi oleh petugas terlibat sempena Program Mini Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) Pahang 2025 di Dataran Temerloh yang mula membuka tirainya pada Khamis hingga Ahad ini.
Pengurusnya, Nor Idayusni Yunus berkata, demonstrasi tersebut julung kalinya dibawa oleh Taman Agroteknologi MARDI Cherating sempena Mini MAHA Pahang.
"Kelapa pandan adalah produk utama dan identiti taman dan kita menggunakan varieti ini walaupun ia sedikit sukar kerana ketebalan isinya tidak sekata.
"Pisau tanduk kerbau digunakan untuk mengeluarkan isi putih kelapa ini kerana ia tajam, elastik," katanya kepada Sinar Harian.
Ujarnya, kelapa pandan atau nama saintifiknya 'Cocos nucifera 'Pandan', menawarkan beberapa kelebihan, terutamanya aroma wangi yang unik dan rasa manis yang menyegarkan.
"Penghasilan 'kelapa telur' ini sudah popular di Thailand dan menerusi teknik ini juga dapat menaikkan lagi nilai produk.
"Setakat ini, kita ada menjual sendiri di taman dan harga di pasaran luar boleh mencecah hingga RM20 sebiji," tambahnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, sempena program tersebut, pelbagai aktiviti lain disediakan untuk pengunjung terutamanya bagi kanak-kanak bertemakan pantai susulan lokasi taman tersebut di Cherating.
"Kita berharap pengunjung tidak melepaskan peluang untuk merasai sendiri pelbagai aktiviti menarik yang disediakan sepanjang empat hari," jelasnya lagi.
Sementara itu, bagi pengunjung seperti Amirul Heidi,35 teruja apabila berpeluang melihat sendiri teknik penghasilan 'kelapa telur'.
"Pernah nampak ada orang jual dan saya sendiri akui 'kelapa telur' nampak lebih menarik berbanding biasa," tambahnya.