KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli sebak ketika berkongsi mengenai insiden serangan ke atas anak tunggalnya pada sidang media di Parlimen, di sini pada Khamis.
Menurutnya, beliau dan isterinya sudah terbiasa menghadapi fasa-fasa sukar dalam hidup, namun kali ini dimensi insiden berbeza kerana ia melibatkan anak.
"Cuma sekarang ini dimensinya lain sikit kerana melibatkan anak. Sebenarnya isteri dan anak saya sudah menghadapi situasi ini banyak kali.
"Jadi, kami akan jalani kehidupan seperti biasa dan saya harap pihak berkuasa diberikan ruang sepenuhnya," katanya di sini, pada Khamis.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan itu yakin kemungkinan pelaku menjalankan pemantauan dua hingga tiga hari sebelum serangan.
Menurutnya, beliau sendiri dan isterinya tidak mengetahui pergerakan masing-masing secara terperinci kerana kedua-duanya menjalani rutin harian secara berasingan.
"Saya tidak tahu pergerakan isteri dan anak saya, begitu juga sebaliknya. Jadi, untuk perkara ini berlaku, besar kemungkinannya memerlukan pemantauan rapi dua hingga tiga hari," katanya.
Beliau memberitahu, ketika ini, keluarganya perlu berada di bawah pengawasan keselamatan buat sementara waktu sehingga polis selesai menjalankan penilaian dan memberikan nasihat lanjut.
Rafizi dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan kejadian berlaku kira-kira pukul 1.45 tengah hari Rabu, ketika anak dan isterinya baru memasuki kereta di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Anak beliau dikatakan ditarik secara tiba-tiba dan dicucuk dengan jarum suntikan.
Hasil semakan awal mendapati dua lelaki menaiki sebuah motosikal mengekori kereta isterinya sebelum insiden itu berlaku.
Kedua-dua suspek berpakaian serba hitam, bertopi keledar penuh yang menutupi muka, dan dipercayai menunggu peluang yang sesuai untuk menyerang. - Awani