KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Kementerian Pertahanan (Mindef) susulan penahanan pegawai pasukan keselamatan itu yang dipercayai terlibat dengan sindiket penyeludupan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tindakan yang dijalankan SPRM melibatkan lima pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta dua bekas anggota yang menjalankan tugas sebagai pegawai perisikan berhubung isu mendapatkan maklumat keselamatan dan penyeludupan.
Menurutnya, Panglima Angkatan Tentera telah memberi sokongan kepada SPRM untuk siasatan kes ini.
“Sudah tentu kita akan ke Mindef untuk dapatkan banyak lagi maklumat dan beberapa laporan sulit terhadap mereka yang terlibat.
“Kita akan pergi lebih dalam lagi. Kita tak akan biarkan mereka (suspek) dengan duit haram,” katanya kepada pemberita semasa Program Persidangan Meja Bulat Ketua Pesuruhjaya SPRM di sini pada Khamis.
Beliau berkata, pegawai terbabit dikatakan telah membocorkan maklumat kepada penjenayah yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan dan ini merupakan satu isu rasuah.
Jelasnya, tangkapan lima pegawai terbabit kebanyakannya berpangkat Leftenan Kolonel selain lima lagi orang awam.
“Siasatan lanjut akan diteruskan dan kita akan memanggil saksi-saksi berkaitan,” ujarnya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan SPRM menerusi Op Sohor dari Bahagian Perisikan dengan bantuan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan yang didalangi pegawai-pegawai kanan ATM yang beroperasi di selatan tanah air.
Lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam termasuk seorang warga Indonesia berusia lingkungan 30 hingga 50-an telah ditangkap di sekitar Lembah Klang bermula jam 6.30 pagi Rabu.
Pegawai terbabit dipercayai bersekongkol dengan sindiket penyeludupan tersebut sejak lima tahun lalu dan disyaki telah mengumpulkan hasil rasuah kira-kira RM3 juta.
Kesemua suspek dipercayai menerima wang rasuah antara RM30,000 hingga RM50,000 bagi setiap trip penyeludupan yang dijalankan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.