SHAH ALAM - Tindakan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi bagi mencabar kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen Tambun dan pelantikannya sebagai Perdana Menteri adalah tidak berasas.
Pengerusi Biro Undang-Undang Parti Keadilan Rakyat (PKR), R Sivarasa berkata, fakta umum menunjukkan pada 16 Mei 2018, Anwar menerima pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ketika itu.
Menurutnya, Seri Paduka berpandangan sabitan tersebut adalah suatu ketidakadilan.
"Prinsip undang-undang yang kukuh menetapkan bahawa pengampunan penuh dan bebas menghapuskan sabitan sepenuhnya, seolah-olah sabitan serta hukuman tersebut tidak pernah berlaku.
"Frasa “dan yang tidak menerima pengampunan penuh” dalam Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan jelas menunjukkan bahawa sabitan lampau tidak menjadi faktor hilang kelayakan jika pengampunan penuh diberikan.
“Oleh itu, isu mengenai keperluan pengecualian daripada YDPA juga tidak timbul kerana Perkara 48(3) telah jelas dalam maksudnya," ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, peguam, P Waythamoorthy memfailkan saman melalui saman pemula dengan menamakan Anwar sebagai defendan bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa Anwar tidak sepatutnya dipilih sebagai Ahli Parlimen Tambun pada 19 November 2022 dan seterusnya dilantik sebagai Perdana Menteri.
Ia dibuat berasaskan hujah tunggal bahawa dokumen pengampunan diraja Anwar tidak mengandungi pengecualian daripada tempoh hilang kelayakan lima tahun yang dikenakan terhadap individu disabitkan kesalahan dengan hukuman penjara melebihi setahun.
Sivarasa turut mempersoalkan tindakan tersebut yang tidak dibangkitkan oleh pihak lawan Anwar ketika Pilihan Raya Umum ke-15 di Tambun, mahupun oleh pihak Istana pada 25 November 2022 ketika Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Persoalan juga timbul mengapa beliau mengambil masa dua tahun sembilan bulan untuk membangkitkan perkara ini.
"Adakah tindakan ini semata-mata untuk kekal relevan dalam politik?” ujarnya.