SHAH ALAM - Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah menyokong pembaharuan kepimpinan dalam parti, sekali gus menyifatkan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai antara tiga pemimpin layak menerajui kepimpinan tertinggi baharu parti itu.
Ketua Armada Bersatu Sabah, Mohammad Hisyam Hazaril turut menyatakan sokongan kepada Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin bagi mengemudi parti.
Beliau berpandangan, Bersatu memerlukan pembaharuan kepimpinan secara menyeluruh bagi mengembalikan keyakinan akar umbi dan memperkukuhkan kedudukan parti sebagai wadah perjuangan rakyat.
"Kami berpandangan barisan kepimpinan ini mempunyai pengalaman, kewibawaan dan keberanian politik untuk memulihkan parti yang sedang berdepan krisis kepercayaan serta perpecahan dalaman.
"Kami mendesak kepimpinan sedia ada khususnya Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mengambil tanggungjawab politik dengan berundur secara serentak demi memberi ruang kepada pembaharuan kepimpinan lebih segar serta inklusif," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, langkah itu penting bagi meredakan ketegangan dalaman parti dan mengelakkan kerosakan yang lebih besar kepada masa depan Bersatu.
Mohammad Hisyam memberitahu, kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah berpunca daripada komitmen terlalu rendah daripada kepimpinan pusat khususnya Presiden parti.
"Sokongan diberikan kepada jentera negeri dilihat tidak seimbang dan tidak bersungguh-sungguh sehingga menimbulkan persepsi wujud unsur sabotaj politik secara tidak langsung menjatuhkan nama serta kepimpinan Hamzah di peringkat negeri," ujarnya.
Beliau menyifatkan, kegagalan memberi sokongan penuh kepada jentera negeri ketika berdepan medan pertempuran politik yang mencabar merupakan satu pengkhianatan terhadap semangat perjuangan parti dan pengorbanan akar umbi.
Tegasnya, hampir kesemua sayap armada di Sabah menyokong penuh pendirian Ketua-Ketua Bahagian yang telah hilang kepercayaan terhadap Tan Sri Presiden.
Justeru, katanya, seluruh ahli parti khususnya golongan muda diseru bangkit mempertahankan masa depan Bersatu dengan menyokong perubahan kepimpinan demi kestabilan, kesatuan dan kelangsungan parti.