KUALA NERUS – “Bendera ini bukan sekadar kain, ia simbol perjuangan dan nyawa yang pernah dipertaruhkan demi kemerdekaan negara.”
Demikian pesanan bekas anggota tentera, Raja Ismail Raja Ngah, 75, yang tidak pernah lupa menghiasi kediamannya dengan ratusan Jalur Gemilang setiap kali sambutan Hari Kebangsaan sejak beliau meninggalkan perkhidmatan itu lebih 30 tahun lalu.
Bapa kepada lapan anak itu menyertai Angkatan Tentera Malaysia ketika berusia 26 tahun pada 1976 sebelum menamatkan khidmatnya pada 1985.
Menurutnya, walaupun sejarah itu telah lama berlalu, saat getir ketika ancaman komunis memuncak, termasuk kehilangan rakan seperjuangan yang terbunuh dalam serangan, masih segar dalam ingatan.
“Saya ada kawan mati apabila trak dinaiki dibaling bom, ada yang ditembak tepat pada bahagian dadanya ketika di dalam kubu sehari sebelum majlis perkahwinannya. Walaupun kita dah merdeka, waktu itu komunis masih menyerang.
“Sampai sekarang kalau terdengar bunyi letupan atau tembakan, saya akan terus terbayang kejadian itu. Kadang-kadang air mata jatuh sendiri bila mengenang pengorbanan askar demi tanah air,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Sepang di sini, baru-baru ini.
Raja Ismail berkata, semangat patriotisme dalam dirinya diterjemah dengan menghias rumah menggunakan Jalur Gemilang baharu setiap tahun, selain menyimpan bendera lama sebagai kenangan.
“Tahun ini saya belanja RM500 beli bendera dan hiasan. Setiap tahun beli yang baharu dan yang lama pun saya simpan. Lepas Hari Malaysia pada bulan September, saya akan cabut dan simpan bendera ini untuk dipasang semula pada tahun depan.
“Bagi saya, Jalur Gemilang ini menjadi teman hidup selepas isteri saya meninggal dunia pada 2 September 2022 akibat kanser.
“Jalur Gemilang ini adalah semangat saya yang tidak pernah luntur. Saya gunakan ia untuk menghias rumah dan menjadi pengubat rindu serta tanda cinta saya pada negara,” katanya yang mempunyai anak berusia 25 hingga 45 tahun serta 21 cucu.
Dalam pada itu, beliau berharap generasi muda hari ini sentiasa mengingati pengorbanan pejuang terdahulu yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi membela bangsa untuk menuntut kemerdekaan negara.
Katanya, setiap kali ulang tahun sambutan kemerdekaan, air matanya pasti akan gugur apabila mengenangkan pahit manis bersama-sama rakan seperjuangan yang telah terkorban demi membela negara.
“Saya tak boleh dengar bunyi pistol atau bom. Dalam televisyen pun saya tak sanggup tengok. Bulu roma naik, air mata pun keluar. Memang terus terbayang kawan-kawan yang gugur dulu.
“Kemerdekaan yang kita nikmati hari ini dibayar dengan darah dan air mata. Jangan lupa sejarah, hargailah perjuangan ini,” ujarnya.
Raja Ismail turut meluahkan rasa kecewa apabila melihat Jalur Gemilang dipasang secara ala kadar seolah-olah diperkecilkan oleh segelintir individu.
“Bendera tu bukan sekadar kain. Itu lambang maruah negara. Lambang darah dan keringat orang dulu. Kalau tak ada mereka, kita tak mungkin bebas macam hari ini. Sebab itu saya pasang bendera banyak-banyak, biar orang lalu depan rumah nampak dan ingat balik sejarah.
“Insya-ALLAH selagi hayat saya masih ada, saya akan terus pasang bendera. Saya nak orang yang lalu-lalang depan rumah ingat yang kemerdekaan ni dibayar dengan nyawa, keringat dan darah,” ujarnya.