Bayi maut selepas ibu terpengaruh lahirkan anak dalam kolam bersalin

Iklan
Seorang bayi perempuan meninggal dunia selepas ibunya melahirkannya di dalam kolam bersalin.- Agensi

MELBOURNE – Seorang bayi perempuan meninggal dunia selepas ibunya melahirkannya di dalam kolam bersalin yang disewa daripada seorang pempegaruh media sosial yang mempromosikan konsep 'freebirth', menurut dapatan Mahkamah Koroner Victoria baru-baru ini.

Laporan koroner menyatakan bahawa kematian bayi itu 'tidak mungkin berlaku' sekiranya kelahiran dilakukan di hospital, atau sekiranya kelahiran di rumah tersebut dijalankan dengan sokongan bidan bertauliah.

Iklan
Iklan

Ibu bayi berkenaan yang dirujuk sebagai Puan E, melahirkan anaknya pada Disember 2022. Sebelum kelahiran, E telah menghubungi Emily Lal yang menggunakan nama The Authentic Birthkeeper di Instagram untuk menyewa kolam bersalin bagi membantu proses kelahiran.

Pempegaruh media sosial berusia 30-an itu sebelum ini menyatakan beliau 'kecewa dengan sistem perubatan' dan berpegang kepada kepercayaan bahawa bidan bertauliah 'terlibat dalam kemudaratan terhadap wanita'.

Iklan

Menurut dapatan inkuiri, E berhubung dengan Lal secara santai, namun tidak mendapatkan khidmat atau nasihat perubatan daripadanya. Selepas melahirkan, dia meminta Lal membuat kunjungan selepas bersalin.

Setengah jam selepas melahirkan, E menghantar mesej kepada Lal berbunyi, 'saya berjaya'. Namun, uri hanya dapat dikeluarkan pada keesokan paginya.

Iklan

Pada pagi tersebut, E mendapati bayinya tidak memberi tindak balas. Dia menghantar mesej kepada Lal pada jam 8 pagi berbunyi, “Kami tidak dapat mengejutkannya, kami tidak pasti sama ada dia bernafas,” bersama gambar bayi yang kelihatan kebiruan.

Lal hanya melihat mesej itu selepas 25 minit, lalu membuat panggilan video. Setelah melihat keadaan bayi, Lal percaya bayi itu sudah meninggal dunia dan mengarahkan ibu bapa bayi menghubungi ambulans.

Pasukan paramedik yang tiba melaporkan degupan jantung bayi hampir tiada dan cuba melakukan bantuan pernafasan selama 30 minit, namun gagal menyelamatkannya.

E kemudian dibawa ke Hospital Mercy Women untuk rawatan lanjut.

Koroner Catherine Fitzgerald merumuskan bahawa kematian bayi ini adalah boleh dielakkan. Beliau menegaskan bahawa kelahiran di rumah berbeza dengan 'kelahiran bebas' iaitu apabila seseorang memilih untuk melahirkan tanpa sebarang bantuan perubatan atau bidan.

Tiada dapatan salah laku dibuat terhadap ibu bapa bayi atau Emily Lal.- Agensi