KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menyegerakan pindaan Akta Persaingan 2010 bagi menutup kelompangan perundangan terutama dalam menangani amalan kartel, monopoli dan aktiviti antipersaingan.
Menurut Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu), langkah itu penting bagi memperkasa peranan dan mandat Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang ketika ini berdepan kekangan dalam penguatkuasaan.
“Pindaan itu wajar disegerakan memandangkan sasaran melalui Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) hanya akan dibuat pada 2030, terlalu lambat,” katanya ketika membahaskan RMK13 di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau turut mempersoalkan tindakan MyCC yang hanya diambil pada peringkat pasca pelaksanaan bagi menangani kegiatan kartel, monopoli dan antipersaingan.
“Mengapa tindakan hanya diambil selepas sesuatu perolehan, pengoperasian atau penyampaian perkhidmatan selesai dijalankan? Adakah kuasa MyCC terlalu terbatas untuk bertindak ketika proses perolehan sedang berjalan, atau ini kelewatan yang disengajakan?
“Adakah ini strategi ‘tunggu dan lihat’?” soal beliau.
Jalaluddin berkata, situasi itu menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan pemantauan awal serta keupayaan mencegah isu penipuan bida atau pembentukan kartel sejak dari peringkat awal proses perolehan.
“Kebanyakan tender berkait rapat dengan kepentingan awam. Tindakan MyCC yang lewat ini melengahkan apa yang seharusnya dinikmati rakyat dan seolah-olah menidakkan hak mereka,” ujarnya
Beliau turut mencadangkan MyCC bekerjasama rapat dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) bagi memberi pendedahan, mendidik serta menyediakan garis panduan jelas kepada kontraktor.
“MyCC perlu bekerjasama dengan CIDB kerana mereka mempunyai kontraktor berdaftar gred 1 hingga 7, mengikut rekod seramai 131,570 kontraktor.
“Kerjasama ini penting supaya proses penilaian kelayakan kontraktor, audit projek berprofil tinggi dan penapisan pemegang lesen dapat memastikan persaingan sihat tanpa menzalimi pemain industri yang belum pernah bersalah,” katanya.