Mara lantik bekas tentera, polis warden sepenuh masa MRSM

Iklan
Asyraf Wajdi (empat dari kanan) bersama kumpulan warden yang akan memulakan tugas di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau bermula Isnin ini.

SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (Mara) melantik bekas tentera dan polis sebagai warden sepenuh masa di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, inisiatif terbaru itu dilaksanakan bagi memastikan isu buli dan kes-kes disiplin lain dapat dikekang di samping menjamin persekitaran pembelajaran di MRSM yang selamat serta sejahtera buat semua pelajar.

Iklan
Iklan

"Tegas pada prinsip, hikmah pada pendekatan. Dengar sebelum menghukum, nasihat sebelum menegur, memulih sebelum mendisiplin.

"Pagi ini saya bertemu dengan kumpulan pertama warden-warden Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) lantikan sepenuh masa dalam kalangan bekas polis dan tentera untuk menyampaikan amanat sebelum mereka memulakan tugas di dua MRSM iaitu MRSM Besut, Terengganu dan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang bermula Isnin ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Iklan

Tambah Asyraf Wajdi, warden-warden terpilih telah melalui siri tapisan termasuk sesi temu bual komprehensif bagi memastikan pesara daripada kalangan anggota beruniform tersebut benar-benar memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Mara.

Beliau turut menyampaikan amanat kepada warden berkenaan yang akan memulakan tugasan minggu ini sambil mengingatkan bahawa asrama MRSM adalah rumah kedua bagi anak-anak MRSM.

Iklan

Katanya, di situlah tempat mereka belajar tentang tertib dan adab hidup bermasyarakat selain mengurus masa, amanah dan tanggungjawab.

"Justeru, peranan warden bukan sekadar menjaga rutin harian, warden ialah pendidik watak ibu bapa kedua yang memastikan keselamatan terjaga, disiplin terbina dan kasih sayang dibudayakan. Tiada toleransi terhadap salah laku, namun pendekatannya mendidik, memulih dan adil.

"Moga MRSM boleh menjadi model sekolah berasrama di peringkat nasional; selamat, berdisiplin, beradab dan membahagiakan," katanya.