SHAH ALAM - Wartawan Sinar Harian, Asyikin Asmin berkongsi pengalamannya sewaktu menyedari kewujudan bau wangi ketika penggalian semula jenazah pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada Sabtu lalu.
Asyikin berkata, kejadian berlaku ketika dirinya bersama rakan media lain sedang memberi tumpuan terhadap jenazah Allahyarham Zara Qairina yang sedang dibawa keluar dari tanah perkuburan tersebut sebelum dimasukkan ke dalam kenderaan pihak berkuasa.
"Ia berlaku sekitar jam 7 malam, ketika itu kami standby menunggu jenazah keluar (dari kubur dan dibawa masuk dalam) kenderaan.
"Masa itu hujan sedikit lebat, saya tidak nafikan memang saya terhidu bau yang wangi.
"Cuma ketika itu saya fikir logik dan menyangka ia berpunca dari tumbuh-tumbuhan memandangkan kawasan perkuburan itu terdapat tanaman bunga," katanya dalam siaran langsung Sinar Harian bertajuk Mengenang Zara Qairina di platform TikTok pada Selasa.
Dalam kejadian 16 Julai lalu, Zara Qairina yang merupakan pelajar Tingkatan Satu dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama.
Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi longkang berhampiran asrama sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Ujar Asyikin, meskipun hanya terhidu bau wangi tersebut untuk masa yang singkat, namun dia bersangka baik mengenainya dan tidak menghiraukan perkara tersebut.
Menurutnya, beberapa kebun buah di sekitar tanah perkuburan tersebut turut mendorong kepada punca bau wangi berkenaan.
"Saya juga difahamkan penduduk kampung bahawa sekitar kawasan berkenaan juga terdapat kebun buah-buahan.
"Saya juga pernah sesat sebelum sampai ke tanah perkuburan tersebut dan saya mendapati memang banyak kebun buah-buahan milik penduduk," ujarnya.