Bendera satukan kita, bukan pecah belahkan

Iklan
Pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mohd Mustafa Abu Bakar, 64, menghiasi motosikal skuternya dengan Jalur Gemilang semasa ditemui di Kuantan pada Selasa. Gambar hiasan Bernama (Gambar kecil dari kiri: Lam Thye, Manimaran, Awang)

SHAH ALAM - Isu Jalur Gemilang dipasang terbalik yang sedang hangat diperkatakan sekarang tidak sepatutnya terus dipolemikkan sehingga menimbulkan perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Lebih-lebih lagi, negara akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-68 kurang tiga minggu lagi yang sepatutnya setiap masyarakat menyemaikan semangat perpaduan.

Iklan
Iklan

Bekas Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, Jalur Gemilang sepatutnya menjadi simbol penyatuan, kebanggaan dan identiti negara yang perlu dihormati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama serta fahaman politik.

“Kita memasang Jalur Gemilang untuk membuktikan bahawa kita bangga dengan negara kita dan sebagai tanda hormat kepada simbol negara berdaulat. Apa yang penting sekarang ini adalah supaya semua pihak terutama orang ramai jangan mempolitikkan isu berkenaan.

Iklan

“Jika sesuatu insiden itu tidak disengajakan (memasang Jalur Gemilang terbalik), maka pihak terlibat perlu meminta maaf, akui ia sebagai satu kesilapan dan perbetulkan semula Jalur Gemilang. Itu sahaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ujar Lam Thye, sekiranya insiden tersebut berlaku akibat kecuaian dan tanpa disengajakan, maka kerajaan wajar mengambil pendekatan mendidik serta memberi kesedaran kepada pihak terlibat.

Iklan

“Tiada sesiapa pun yang ada niat sengaja mahu memasang bendera secara terbalik dan menjadikan perkara itu sebagai satu isu. Mungkin ada yang tidak tahu dan jahil pasal perkara ini.

“Sebab itu saya cadangkan kepada pihak kerajaan supaya sepatutnya menghebahkan dan membuat kempen kesedaran menunjukkan cara yang betul untuk mengibarkan Jalur Gemilang,” ujarnya.

Sementara itu, Koordinator Media Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA) Universiti Malaya, Dr G Manimaran berkata, masyarakat perlu kembali kepada asas pendidikan sivik dan mengkaji langkah terbaik untuk memastikan insiden memasang Jalur Gemilang secara terbalik tidak berulang pada masa hadapan.

Menurutnya, semua pihak perlu memainkan peranan dalam membentuk kesedaran masyarakat tentang tatacara penggunaan Jalur Gemilang yang betul.

“Kebelakangan ini, kita banyak mempolitikkan isu ini berbanding mencari penyelesaian untuk memperbetulkan kesilapan tersebut. Kita tidak mengkaji masalah akar umbi.

“Kita balik kepada asas iaitu pendidikan sivik dan kewarganegaraan sama ada dari semua peringkat,” ujar beliau.

Bagi Ahli Dewan Negara, Profesor Emeritus Datuk Seri Dr Awang Sariyan pula, ketegasan kerajaan menangani isu berkenaan penting dalam memastikan agar perbuatan menghina bendera negara tidak dianggap perkara remeh atau kesalahan kecil yang boleh dibiarkan tanpa tindakan.

Menurut beliau, ini kerana pihak yang melakukan kesalahan perlu bertanggungjawab dan dikenakan tindakan undang-undang tanpa mengira sama ada insiden berkenaan merupakan kes terpencil atau umum.

Jelasnya, semua warganegara Malaysia wajib menghormati Jalur Gemilang dan melihatnya sebagai tanda penghormatan, kebanggaan dan kasih sayang terhadap negara.

“Kerajaan wajib mengambil tindakan tegas melalui agensi penguatkuasaan kerajaan. Sesiapa melakukan kesalahan menghina bendera negara mesti didakwa di mahkamah.

“Hukuman yang boleh dikenakan ialah denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

“Ketegasan kerajaan penting agar perbuatan menghina bendera negara yang menyamai perbuatan menghina negara tidak dianggap remeh dan berulang kali berlaku,” menurut beliau.