'Orang yang buat kerja, nak pecat pasal apa?' - Anwar

Iklan
Anwar

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur pihak yang mendesak supaya tindakan diambil terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki susulan pendedahan pemilikan saham beliau dalam beberapa syarikat.

Beliau menegaskan, pihak yang mengkritik seharusnya memberi ruang dan mendengar penjelasan daripada Azam terlebih dahulu.

Iklan
Iklan

“Orang yang buat kerja, nak pecat pasal apa?...Baca penjelasan dia.

“Ini satu penyakit. Orang buat kerja, you (awak) maki pasal apa? Salah. Dengar penjelasan masing-masing,” katanya ringkas seperti dilapor portal berita pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sambutan Tahun Baru Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di Petaling Jaya.

Bloomberg melaporkan, Azam memiliki 17.7 juta saham atau 1.7 peratus dalam Velocity Capital Berhad berdasarkan penyata tahunan syarikat pada 3 Februari tahun lalu.

Iklan

Nama Azam dilaporkan masih tersenarai dalam daftar pemegang saham syarikat itu di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Perkara tersebut didakwa melanggar pekeliling kerajana 2024 yang menyatakan penjawat awam hanya boleh memegang saham dalam syarikat diperbadankan di Malaysia jika pegangan itu tidak melebihi lima peratus daripada modal berbayar atau bernilai RM100,000 yang mana lebih rendah.

Susulan laporan yang turut mencetuskan desakan supaya beliau diberi cuti atau kontraknya ditamatkan, Azam pada Rabu tampil menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang pegangan saham sejak tahun lalu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan laporan media berhubung pemilikan saham dalam syarikat Awanbiru Technology Berhad.

Azam dalam masa sama turut memaklumkan akan menyerahkan surat tuntutan kepada agensi media Bloomberg pada Khamis.