Keputusan rayuan AG isu Titah Adendum Najib, pagi ini

Iklan
Hujahan berhubung Titah Adendum membabitkan Najib selesai di Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada 9 Julai lalu. Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

PUTRAJAYA – Rayuan Peguam Negara untuk menghalang Datuk Seri Najib Tun Razak dalam semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum, akan diputuskan Mahkamah Persekutuan di sini pada Rabu.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah akan memutuskan demikian pada jam 9 pagi.

Iklan
Iklan

Panel akan memutuskan sama ada mengekal atau mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri itu, ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk perbicaraan.

Jika rayuan ditolak, semakan itu akan diteruskan di Mahkamah Tinggi berdasarkan tarikh-tarikh yang ditetapkan.

Iklan

Seandainya mahkamah berpendirian untuk membenarkan rayuan Peguam Negara, ini menyebabkan hasrat Najib, 72, untuk meneruskan semakan kehakiman ini bagi mendapatkan perintah mandamus supaya menjalani baki hukuman penjara di rumah, berakhir serta-merta.

Bagaimanapun, barisan peguam Najib masih berpeluang untuk mengemukakan permohonan pengampunan kali kedua, kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Iklan

Pada 9 Julai lalu, mahkamah selesai mendengar hujahan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan serta peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.

Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari tahun lalu.

Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu ialah supaya semua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.

Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Pada 3 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, sebelum beliau merayu keputusan berkenaan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong dakwaan Najib, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, adalah khabar angin serta tidak boleh diterima sebagai bukti.