IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menafikan melantik individu sebagai orang tengah bagi permohonan MyKiosk di kawasan kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.
MBI dalam kenyataan memaklumkan bahawa terdapat hantaran di Facebook mengenai iklan penyewaan MyKiosk dengan bayaran dikenakan sebanyak RM 1,500 termasuk bayaran lesen.
"MBI ingin menegaskan bahawa tiada sebarang kebenaran diberikan kepada individu terbabit untuk menguruskan tawaran penyewaan kiosk di kawasan milik MBI.
"Promosi yang dilakukan ini adalah satu bentuk iklan palsu dan mengelirukan. Pihak MBI menasihati orang awam yang berminat agar berhati-hati," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut kenyataan itu, pihaknya tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau kerosakan yang dialami oleh mana-mana pihak yang menerima tawaran yang diiklankan secara tidak sah ini.
"Pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati memburukkan, memperlekeh atau mencemarkan nama baik MBI melalui penggunaan nama, premis atau kapasiti rasmi Majlis tanpa kebenaran.
"Orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi pejabat MBI di Unit Pengurusan Penjaja, Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih berkaitan permohonan mana-mana premis gerai milik MBI," katanya.
MyKiosk yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bertujuan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk setempat.