KEMELUT antara pelakon popular, Anna Jobling dan ibunya, Ariz Arop, terus menjadi bualan hangat apabila wanita tersebut tampil membuat pendedahan beremosi mengenai layanan anaknya.
Dalam satu rakaman video yang dimuat naik di Instagram Story, Ariz mendakwa dirinya kini diperlakukan seperti anjing kurap biarpun pernah berkorban harta dan tenaga demi memastikan kesenangan hidup pelakon drama Setia Itu Mahal itu.
“Saya sudah pesan, bila sudah terkenal jangan lupa diri. Tetapi bila dia sudah terkenal, dia buat saya begini. Walaupun dia selalu beri duit, dia ingat dia boleh layan saya macam ini?
“Saya bergolok gadai kereta, barang kemas segala sebab mahu hidup dengan dia di Kuala Lumpur. Sayalah pemandu yang tidak bergaji, bawa dia ke hulu ke hilir,” luahnya.
Ariz berkata, pergaduhan yang pada awalnya hanya melibatkan rasa tidak puas hati antara mereka bertukar tegang apabila Anna atau nama penuhnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman Jobling memanggil peguam untuk campur tangan.
“Pada awalnya, kami hanya bergaduh biasa saja sebab banyak benda yang saya tidak puas hati terhadap dia dan dia juga terhadap saya. Tapi dia punya hina saya sampai boleh panggil peguam, keluarkan saya daripada kereta seperti saya mahu bunuh dia,” ujarnya dalam tangisan.
Wanita itu turut menyatakan dia tidak pernah mengharapkan balasan besar daripada anaknya, sebaliknya hanya mahu menumpang kesenangan setelah membesarkan dan membantu kerjaya anaknya.
“Kita harap anak kita boleh hidup senang. Bolehlah tumpang senang seorang anak. Tetapi macam ini dia buat pada saya.
“Terbang setinggi mana kau mahu terbang, tapi jangan lupa dalam setiap kejayaan itu ada pada doa seorang ibu,” katanya lagi.
Sebelum ini, kemelut antara dua beranak itu mencuri perhatian apabila Ariz memaklumkan dirinya menerima perintah injunksi yang difailkan oleh Anna, selain berkongsi foto berada di sebuah balai polis.
Setakat ini, Anna masih mendiamkan diri dan tidak memuat naik sebarang kenyataan atau penjelasan berhubung isu tersebut di laman media sosialnya.