BANDAR GAZA - Penduduk Palestin pada Isnin berdepan kempen pengeboman paling sengit dalam tempoh beberapa minggu.
Hujan peluru itu menyasarkan kawasan di timur Bandar Gaza, beberapa jam selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengumumkan operasi ketenteraan berskala besar kononnya untuk menghapuskan Hamas akan dilancarkan dalam masa terdekat.
Saksi mendakwa unit kereta kebal dan jet pejuang membedil Sabra, Zaitun dan Shejaiya di pinggir Bandar Gaza hingga memaksa banyak keluarga melarikan diri ke arah barat.
Sebahagian penduduk Palestin menyifatkan ia sebagai malam paling mengerikan buat mereka sejak perang genosid itu tercetus 22 bulan lalu.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengesahkan anggota mereka melancarkan artileri ke kawasan markas Hamas.
Setakat ini, tiada tanda unit infantri sudah mara ke Bandar Gaza yang menjadi tempat berlindung hampir sejuta penduduk Palestin hilang tempat tinggal.
Pemerhati percaya operasi itu semestinya mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan Netanyahu memandangkan pelan yang caca marba dan tiada objektif jelas.
“Ia kedengaran seperti perang ganas bermula semula. Kereta kebal membedil rumah dan jet pejuang melancarkan 'lingkaran tembakan' di beberapa jalan di timur Gaza,” ujar Amr Salah, 25.
Serangan itu bermula selepas IDF memusnahkan tapak pelancaran roket milik Hamas di bandar tersebut.
Rancangan 'menakluk' Bandar Gaza telah mengundang kebimbangan komuniti antarabangsa termasuk negara Barat.
Duta Amerika Syarikat (AS) ke Israel, Mike Huckabee berkata, kebanyakan negara kini lebih memberi tekanan kepada Tel Aviv berbanding Hamas supaya menghentikan perang genosid tersebut berikutan krisis kebuluran yang semakin meruncing di Gaza.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan di wilayah itu mengesahkan lima lagi kematian akibat malnutrisi dan kelaparan dalam tempoh 24 jam, sekali gus menjadikan jumlah korban kekejaman Zionis tersebut meningkat kepada 222 orang termasuk 101 kanak-kanak. - Agensi