JOHOR BAHRU – Seorang warga emas, M Kandapan, 65, mahu melakar sejarah tersendiri apabila mengibarkan 3,000 Jalur Gemilang sebagai hiasan di rumah dan kenderaannya bagi menyambut ketibaan bulan kebangsaan tahun ini.
Menurutnya, kesemua bendera Jalur Gemilang dalam pelbagai saiz itu dikibarkannya sebagai tanda cinta yang tidak berbelah bahagi kepada tanah air.
Malah, katanya, sejak 25 tahun lalu, dia sudah mula menghias kediamannya termasuk kereta dengan bendera Jalur Gemilang dan kali ini jumlah bendera tersebut bertambah sehingga 3,000.
Kandapan berkata, minat untuk menghias rumah dengan bendera Malaysia itu bermula sejak 25 tahun yang lalu dan ia tidak pernah pudar sehingga ke hari ini.
“Tahun ini, saya dan keluarga menghias rumah dan kereta dengan lebih 3,000 Jalur Gemilang, semua bendera baharu sebab yang lama sudah usang.
"Saya tidak kisah mengenai kos sebab niat saya nak menzahirkan rasa syukur dilahirkan di bumi Malaysia yang bertuah dan negara merdeka di mana rakyatnya hidup aman dan harmoni," katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Seri Alam, Masai.
Tinjauan Sinar Harian mendapati Kandapan turut menghiasi rumah dan kenderaannya dengan gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Malah, Kandapan juga menggunakan poster Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
"Jika kita cintakan negara yang berdaulat ini, kita juga perlu menyanjungi raja dan pemimpin nombor satu negara serta negeri ini. Sebab itu, saya turut abadikan wajah mereka," katanya.
Sementara itu, bapa kepada tiga anak itu berkata, dia tidak pernah rasa jemu menatap Jalur Gemilang berkibar megah di halaman rumah atau di keretanya malah berasa bangga apabila ia dapat menarik perhatian penduduk setempat.
"Saya tahu, setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk menyatakan rasa cinta pada negara dan inilah cara saya. Mungkin ada yang memandang sinis atau remeh, namun ia satu kepuasan bagi saya.
“Selagi nyawa masih dikandung badan, saya akan terus pastikan ribuan Jalur Gemilang terus berkibar di rumah dan kereta saya,” katanya.