Pengarah syarikat mengaku tidak bersalah tipu pelaburan RM155,000

Iklan
Tertuduh (tengah) didakwa atas empat pertuduhan menipu empat warga asing membabitkan pelaburan syarikat.

JOHOR BAHRU - Seorang pengarah syarikat berstatus Penduduk Tetap (PR) Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas empat pertuduhan menipu empat warga asing membabitkan pelaburan syarikat berjumlah RM155,000, 11 tahun lalu.

Tertuduh, Chong Kok Ming, 54, membuat pengakuan itu setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail oleh jurubahasa mahkamah.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, Kok Ming bersama seorang lelaki warga Singapura yang masih bebas didakwa memperdaya Lim Swee Chong, Lim Swee Joo, Ho Sang Bin dan Puah Kot Choon dengan menawarkan pendaftaran sebagai pemegang saham sebuah syarikat dan menerima dividen tahunan, sedangkan tertuduh mengetahui perkara itu tidak benar.

Perbuatan tersebut mendorong mangsa menyerahkan wang antara RM6,250 hingga RM71,250 ke dalam akaun milik syarikat berkenaan yang berdaftar di Malaysia.

Iklan

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Jalan Cengal, Taman Makmur, Batu Pahat pada 15 Oktober 2014.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Chan Lee Lee, manakala tertuduh diwakili peguam, K Veeranesh.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dan menetapkan 17 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.