BANDAR GAZA - Lebih 270 wartawan dan petugas media, kebanyakannya rakyat Palestin, telah terbunuh dalam perang Israel di Gaza sejak 7 Oktober 2023.
Menurut Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ), Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ), Al Jazeera, 269 daripada jumlah itu merupakan warganegara Palestin.
Al Jazeera mengecam pembunuhan wartawan Anas al-Sharif dan Mohammed Qreiqeh bersama kru mereka, Ibrahim Zaher, Mohammed Noufal dan Moamen Aliwa, sambil menyifatkannya sebagai “percubaan terdesak untuk membungkam suara yang mendedahkan rampasan dan pendudukan Gaza yang bakal berlaku.”
CPJ menuntut kebertanggungjawaban, Kelab Akhbar Kebangsaan Amerika Syarikat menggesa siasatan dijalankan, manakala Yayasan Kebebasan Media menyeru tindakan diambil bagi menghentikan serangan lanjut terhadap media.
Australia pula memaklumkan akan mengiktiraf negara Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September ini.
Pada Isnin, Al Jazeera melaporkan dua wartawannya, termasuk seorang wartawan terkemuka, Anas al-Sharif dan tiga jurukamera terbunuh dalam serangan Israel ke atas khemah mereka.
Serangan itu adalah yang terbaru menyaksikan wartawan menjadi sasaran dalam perang 22 bulan di Gaza, dengan kira-kira lebih 200 petugas media terbunuh sepanjang konflik itu, menurut pemerhati media.
Al-Sharif, 28, dikenali kerana liputan meluasnya dari utara Gaza sejak tercetusnya perang.
Al Jazeera mendakwa serangan itu adalah tindakan yang disasarkan secara khusus terhadap kumpulan wartawannya.
"Anas al-Sharif dan tiga rakan setugas maut apabila khemah untuk petugas media di luar pintu utama hospital terkena serangan," kata stesen berpangkalan di Qatar itu.
Tentera Israel mengesahkan mereka memang menyasarkan Al-Sharif, dengan menuduhnya sebagai pengganas yang menyamar sebagai wartawan dan mengetuai sebuah sel pejuang Hamas yang bertanggungjawab melancarkan serangan roket ke arah orang awam Israel dan anggota tentera.
"Sebentar tadi, di Bandar Gaza, IDF menyerang pengganas Anas al-Sharif, yang menyamar sebagai wartawan rangkaian Al Jazeera," kata tentera Israel dalam kenyataan di Telegram.
Al-Sharif adalah antara wajah paling dikenali dalam liputan Al Jazeera di Gaza, tampil setiap hari memberi laporan langsung dari kawasan konflik.
Hubungan Israel dan Al Jazeera sememangnya tegang sejak sekian lama, termasuk larangan operasi stesen itu di Israel dan serbuan pejabatnya susulan perang di Gaza.
Perang Israel di Gaza telah meragut sekurang-kurangnya 61,499 nyawa dan mencederakan 153,575 orang.
Dianggarkan 1,139 orang terbunuh di Israel dalam serangan pada 7 Oktober 2023, dan lebih 200 orang telah dijadikan tawanan.