Duda terlepas hukuman gantung, dipenjara 8 tahun dan 10 sebatan

Iklan
Syafri (tengah) menarik nafas lega apabila dua kali terlepas peruntukan hukuman gantung bagi kes dadah pada 2020 dan tahun ini. Foto fail

SHAH ALAM - Seorang duda yang sebelum ini berdepan hukuman gantung sampai mati atas dua pertuduhan mengedar dadah menarik nafas lega apabila Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin meminda pertuduhan terhadapnya kepada kesalahan memiliki dadah.

Tertuduh, Syafri Hamzah, 45, dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan pindaan tersebut.

Iklan
Iklan

Hakim Julia Ibrahim menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi yang dikemukakan oleh pihak pembelaan pada 5 Ogos tahun lalu, bagi meminda pertuduhan mengedar di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kepada pertuduhan memiliki di bawah Seksyen 12(2) akta yang sama.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan berjalan secara serentak, bermula dari tarikh tangkapan pada 25 April 2020, iaitu lima tahun lalu.

Iklan

Mengikut pertuduhan pilihan pertama, tertuduh didakwa memiliki 312.6 gram methamphetamine di sebuah rumah di Seksyen 5, Semenyih, pada jam 1 tengah hari, 25 April 2020.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki 1,401.6 gram methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) di sebuah unit kondominium di Balakong, pada jam 3 petang, hari yang sama.

Iklan

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama, yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, peguam, Daniel Savarimuthu berkata, anak guamnya menyesal dan insaf atas perbuatan berkenaan.

"Anak guam telah bercerai dengan isterinya sejak 2011 malah selepas ditangkap, dia tidak berpeluang untuk memberikan kasih sayang kepada anak-anak.

"Dia bersedia menerima hukuman dan berhasrat untuk berubah serta memohon diberikan peluang kedua demi rezeki yang halal," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Zamriah Zarifah Aris, memohon agar tertuduh tetap dikenakan hukuman berat memandangkan dadah merupakan musuh utama negara.

"Sebarang kesulitan yang dihadapi tertuduh merupakan hukuman akibat perbuatannya sendiri.

"Ini kerana dia tidak memikirkan kesan sebelum melakukan jenayah, maka hukuman berbentuk pencegahan wajar diberikan," katanya.

 

 

https://www.sinarharian.com.my/article/673468/berita/semasa/pemandu-lori-lepas-bebas-pertuduhan-edar-dadah