Himpunan tolak Akta Hasutan: Hilman beri keterangan di Bukit Aman

Iklan
Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham (tengah). Gambar fail

KUALA LUMPUR – Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berhubung ucapannya ketika himpunan solidariti menolak Akta Hasutan 1948 di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 29 Julai lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu memaklumkan siasatan tersebut dijalankan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang berkait ugutan jenayah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Iklan
Iklan

Katanya, meskipun Seksyen 506 merujuk kepada ugutan jenayah, kertas siasatan yang dibuka tidak berpunca daripada laporan individu yang mendakwa dirinya diugut.

“Sebaliknya, laporan itu dibuat sendiri oleh pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Mengulas lanjut, Hilman mendakwa sejak malam himpunan tersebut sehingga hari ini, Menteri Dalam Negeri tidak sekali pun menafikan dakwaan bahawa beliau mengarahkan penahanan beberapa pimpinan Bersatu dan Armada.

“Jika benar bukan arahan beliau, maka beliau harus menafikan perkara itu,” tegasnya.

Iklan

Beliau turut menggesa pihak berkuasa menghentikan salah guna kuasa dan tidak memperalatkan polis untuk tujuan politik.

Himpunan solidariti pada 29 Julai lalu dianjurkan bagi membantah penggunaan Akta Hasutan 1948 terhadap pemimpin politik dan aktivis.

Perhimpunan itu disertai pimpinan utama Bersatu dan Armada yang menuntut kerajaan menghentikan pendakwaan bersifat politik.

Selepas perhimpunan berkenaan, beberapa pemimpin parti itu ditahan polis bagi membantu siasatan, mencetuskan kritikan pelbagai pihak terhadap tindakan pihak berkuasa.

Hilman berkata, Armada dan Bersatu akan terus memberi sokongan kepada semua pimpinan yang disiasat, selain mendesak agar proses undang-undang dijalankan secara adil dan telus.

“Kami akan mempertahankan hak bersuara dan memastikan suara anak muda tidak dibungkam oleh tekanan politik,” ujarnya.